LABIS – Pengguna jalan raya memohon pihak yang bertanggungjawab supaya menebang beberapa pokok mati dan ranting yang terjuntai ke jalan di sekitar kawasan Jalan Labis-Pekan Air Panas, di sini.
Seorang pengguna jalan raya, Masran Bahari, 56, berkata, hampir setiap hari dia melalui jalan berkenaan dari rumahnya di Pekan Air Panas, di sini, untuk ke Pekan Labis dan bimbang sekiranya keadaan tersebut mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya.
“Kadang-kadang kita bimbang kerana kawasan ini banyak pokok yang sudah tua dan mereput terutamanya pokok getah dan jika ia tumbang atau jatuh ke atas jalan raya, nahas akan berlaku dan boleh mengakibatkan kemalangan yang menyebabkan kecederaan dan maut.
“’Keadaan ini amat membahayakan lebih-lebih lagi macam saya yang sering menunggang motosikal dan setiap kali melalui jalan ini, saya pasti risau sekiranya terjadi sesuatu musibah yang tidak dapat dielakkan,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, walaupun kawasan berkenaan tiada penempatan, namun ia melibatkan keselamatan pengguna jalan raya kerana laluan tersebut merupakan laluan utama terutamanya bagi beberapa penduduk di beberapa kampung di sini.
Bagi Goh Tien Siong, 49, berkata, dia perlu berhati-hati setiap kali menggunakan laluan tersebut untuk ke kebunnya selain perlu lebih berhati-hati bagi mengelakkan dahan jatuh di atas jalan.
“Sekarang bukan musim angin kuat, tapi akan datang jika angin kuat berserta hujan, mungkin ranting ni akan jatuh ke jalan raya dan sekiranya angin serta hujan kuat, mungkin pokok mati ini akan tumbang ke arah jalan.
“Saya berharap pihak berkenaan peka serta mengambil langkah awal bagi menangani masalah ini yang bakal mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya dan perkara ini tidak boleh dipandang remeh apatah lagi banyak pokok getah yang sudah mati,” katanya.
Menurutnya, apa yang dibimbangi apabila terdapat pokok atau ranting di atas jalan raya pada waktu malam sehingga tidak disedari oleh pengguna jalan raya ekoran kawasan tersebut yang gelap dan tidak mempunyai lampu jalan.
Comments