LABIS – Keadaan jalan yang gelap serta terdapat banyak haiwan seperti anjing liar dan
lembu berkeliaran pada waktu malam dikatakan punca sering berlaku kemalangan maut di Jalan Labis-Muar berhampiran kawasan Perumahan Awam Labis, di sini.

Mohd Hafiz Md Top, 55, berkata, dia yang tinggal di Perumahan Awam Labis mengakui sering berlaku kemalangan di laluan sejauh kira-kira lima kilometer dari Labis ke kawasan perumahannya melibatkan haiwan yang berkeliaran di atas jalan raya pada waktu malam.

“Kejadian terbaru berlaku beberapa minggu lalu melibatkan empat remaja dengan dua daripadanya maut di tempat kejadian sementara dua lagi parah selepas motosikal yang ditunggang mereka terlanggar lembu yang sedang tidur di tengah jalan.

Keadaan Jalan Labis-Muar yang gelap pada waktu malam dan binatang liar didakwa punca berlaku kemalangan pada waktu malam
Keadaan Jalan Labis-Muar yang gelap pada waktu malam dan binatang liar didakwa punca berlaku kemalangan pada waktu malam

“Kita tidak mahu perkara sama berulang dan apa yang paling dibimbangi adalah keadaan tersebut mampu mengundang padah kepada orang luar yang sekali-sekala melalui jalan tersebut pada waktu malam,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Menurutnya, dia juga berharap pihak berwajib dapat mengambil langkah untuk memasang lampu jalan serta mengesan dan mengambil tindakan terhadap pemilik haiwan yang berkeliaran di kawasan tersebut pada waktu malam bagi mengelakkan lebih ramai menjadi korban.

Jaafar Hussin
Jaafar Hussin

Bagi Jaafar Hussin, 62, berkata, dia juga pernah beberapa kali mengalami saat mencemaskan ketika terserempak anjing liar dan lembu yang berkeliaran pada waktu malam sama ada ketika menaiki kereta atau menunggang motosikal.

“Bagi pengguna yang biasa melalui jalan tersebut mungkin mereka akan lebih berhati-hati, namun bagi mereka yang jarang menggunakan jalan ini mungkin mereka beranggapan jalan ini selamat.

“Tambahan pula, keadaan  jalan ini yang lurus menyebabkan terdapat pengguna jalan raya yang memandu kenderaan mereka dengan laju tanpa memikirkan risiko keselamatan mereka,” katanya.

Bagi Selamat Latif, 55, berkata, dia sering berulang alik melalui jalan tersebut pada waktu malam  untuk balik ke kampungnya di Muar dan mengakui risiko kemalangan melibatkan haiwan liar mungkin boleh dielakkan jika kawasan tersebut dipasang lampu jalan.

“Pemandu mungkin dapat melihat dengan jelas sebarang objek yang berada di jalan raya sekiranya ada lampu jalan dan kebiasaannya binatang seperti lembu akan baring di atas jalan raya selepas hujan untuk memanaskan badan.

“Selain haiwan liar, salah satu punca kemalangan berlaku adalah disebabkan pokok tumbang dan telah beberapa kali kejadian kemalangan maut berlaku disebabkan pokok tumbang merentangi jalan pada waktu malam,” katanya.

(Visited 1,776 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!