SEGAMAT – Sejarah bakal tercipta apabila 10 peserta Anugerah Remaja Perdana Rakan Muda (ARPRM) dari daerah ini bakal meraih pingat emas sekaligus menjadi peserta teramai yang memperolehi pingat emas di negeri ini.
Penolong Pegawai Belia dan Sukan Segamat, Ibrahim Bujang berkata, kesemua peserta ARPRM tersebut telah menyelesaikan kesemua modul yang ditetapkan dan datang daripada Persatuan Belia G2 Pemanis.
“Mereka akan menerima pingat emas tersebut pada sambutan Hari Sukan Negara pada 15 Mei ini di Universiti Putra Malaysia (UPM) yang akan disampaikan sendiri oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
“Mereka akan menjadi kebanggaan daerah dan negeri ini apabila setakat ini, peserta ARPRM bagi pingat emas paling banyak datang daripada daerah Segamat selain mereka merupakan anak-anak muda,” katanya.
Pada masa sama, seramai 80 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Buloh Kasap di sini berjaya menyelesaikan kursus di air pada 20 hingga 23 April lalu bagi melayakkan mereka memperolehi pingat perak ARPRM.
Menurutnya, kursus di air dipilih sebagai salah satu kompunen program jelajah lasak ARPRM kerana kebanyakan pelajar di sekolah berkenaan terdiri daripada mangsa banjir selain mahu memberikan peserta keyakinan apabila berada di dalam air.
“Selain itu, kami mahu mengatasi fobia mereka kerana pada tahun 2013, lapan rakan mereka di SMK Buloh Kasap telah menjadi mangsa lemas di Sungai Buloh Kasap dan kita tidak mahu tragedi hitam ini berulang kembali.
“Kita turut mendapat tunjuk ajar daripada Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bagi kursus di air ini dan saya melihat kebanyakan peserta memperolehi input yang berguna,” katanya.
Comments