SEGAMAT – Majlis Daerah Segamat (MDS) sentiasa komited untuk meningkatkan tahap kemudahan di kawasan pentadbirannya termasuk kawasan perindustrian di daerah Segamat terutamanya kawasan Perindustrian Segamat Dua.
Yang Dipertuanya, Miswan Yunos berkata, usaha-usaha akan terus dipertingkatkan dan dipergiatkan bagi menyediakan prasarana yang terbaik dan persekitaran kondusif yang sesuai untuk pelabur tempatan dan luar negara.
“Daerah Segamat telah dikenalpasti oleh kerajaan negeri sebagai ‘Less Developed Area’ terutamanya dalam konteks pembangunan sektor perindustrian yang melayakkan daerah ini menerima pelbagai insentif untuk menarik sektor perindustrian dan perkilangan.
“Dalam usaha membangunkan kawasan perindustrian ini, MDS juga telah mengambil beberapa inisiatif bagi mempercepatkan pembangunan kawasan Perindustrian Segamat Dua ini yang dibangunkan oleh Techno SCP Sdn, Bhd,” katanya.
Beliau berkata dalam ucapannya sewaktu Mesyuarat Penuh MDS Bulan April 2016 di Bilik Mesyuarat MDS, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, MDS bersama Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor (UPENJ), Pusat Pelaburan Johor dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) juga telah mengenalpasti masalah-masalah yang dihadapi oleh pemilik-pemilik lot industri di kawasan tersebut.
“Saya berharap MDS dan semua agensi-agensi kerajaan yang berkaitan dapat membuat persiapan yang perlu dari segi memperkemaskan instrument penyampaian perkhidmatan terutamanya dalam mempercepatkan proses kelulusan projek-projek.
“Melalui inisiatif menggalakkan sektor pembanguan perindustrian ini, MDS akan meningkatkan hasil cukai yang membolehkan MDS terus komited merancang untuk meningkatkan lagi kemudahan infrastruktur awam untuk faedah rakyat,” katanya.
Pada masa sama, MDS telah menetapkan tiga hala tuju yang perlu dicapai bagi tempoh lima tahun yang akan datang mulai tahun 2015 hingga tahun 2020 seiring dengan Gagasan Johor Berkemajuan.
“Hala tuju tersebut telah ditetapkan melalui visi strategik MDS iaitu Segamat Bersih, Segar dan Sejahtera bagi mencapai kemakmuran masyarakat di daerah ini terutamanya dalam kawasan pentadbiran MDS.
“Bagi mencapai hala tuju ini, beberapa keperluan untuk merancang dan membangunkan daerah ini secara holisitik dan seimbang perlu diberi perhatian dengan mengambilkira segala keperluan pelanggan dan penduduk di kawasan MDS,” katanya.
Menurutnya, segala perancangan yang dibuat juga dapat diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan program yang memberi impak tinggi kepada masyarakat.
Comments