LABIS – Bagi mengurangkan kejadian jenayah di sekitar daerah kecil Labis, satu Ops Lejang dilakukan anggota Balai Polis Labis, dengan menumpukan beberapa lokasi sekitar Labis dan taman perumahan.
Ketua Balai Polis Labis, Inspektor Chan Kok Chuan berkata, beberapa anggotanya juga telah keluar bersama membuat rondaan pencegahan jenayah dan pemeriksaan di beberapa jalan yang dikenalpasti sebagai laluan penjenayah untuk melarikan diri.
“Ops Lejang dan rondaan yang dilakukan ini berdasarkan maklumat daripada orang ramai yang mahukan rondaan dan pemantauan dibuat oleh pihak berkuasa.
“Tindakan dan pemeriksaan yang dijalankan secara rutin dan rambang juga akan membuatkan penjenayah berasa gerun untuk melakukan jenayah,” katanya
Menurutnya, dalam Ops Lejang yang dijalankan, sebanyak 35 motosikal dan 11 motokar telah diperiksa dan beberapa saman turut dikeluarkan kepada pemandu dan penunggang yang tidak mematuhi undang-undang jalan raya.
“Walau bagaimanapun, tiada sebarang tangkapan dan rampasan dilakukan. Tindakan di dalam kawasan pentadbiran saya juga akan terus dilakukan dari masa ke semasa untuk menurunkan lagi kadar jenayah di sini,” katanya.
Comments