Masyarakat hari ini mungkin hanya mengetahui periuk kera merupakan tumbuhan meliar di hutan selain dijadikan tanaman hiasan yang eksotik oleh penggemar pokok hiasan.

Namun bagi pasangan Abdullah Kayan, 46, dan isterinya, Norashikin Salimin, 41, yang tinggal di Kampung Tenang, Labis ini, periuk kera bukan sekadar tumbuhan liar atau tanaman hiasan semata-mata, sebaliknya merupakan sumber rezeki bagi mereka terutama sekali menjelang musim perayaan.

Menurut Abdullah, masyarakat Melayu di beberapa kawasan sekitar negeri Johor dan Pahang menjadikan periuk kera sebagai acuan untuk membuat pulut periuk kera yang sering dijadikan juadah di pagi hari raya.

“Rasa pulut periuk kera tidak banyak beza dengan lemang kerana kedua-dua makanan tradisi masyarakat Melayu itu mempunyai banyak persamaan dengan pulut dan santan kelapa sebagai bahan utama untuk membuatnya.

“Pebezaannya hanyalah lemang dimasak di dalam buluh dan dimasak dengan cara membakar beberapa jam lamanya sementara pulut periuk kera pula dikukus dan memerlukan masa sekitar 15 hingga 20 minit untuk dimasak,” katanya.

Abdullah menunjukkan rupa bentuk periuk kera yang tumbuh bergugus ketika ditemui di rumahnya
Abdullah menunjukkan rupa bentuk periuk kera yang tumbuh bergugus ketika ditemui di rumahnya

Ini juga telah membuka peluang kepada pasangan suami isteri tersebut untuk membekalkan sama ada periuk kera mahu pun pulut periuk kera yang sudah siap dimasak kepada mana-mana pihak yang berminat menjadikan pulut periuk kera sebagai hidangan sama ada di musim perayaan ataupun hari-hari biasa.

Pada malam raya tahun lepas, Abdullah dan isterinya juga pernah bersengkang mata untuk memasak sebanyak 1,500 biji pulut periuk kera yang ditempah pelanggan yang dijual dengan harga RM1 setiap satu.

Menurut Abdullah, bekalan periuk kera semakin sukar diperolehi sekarang dimana dia terpaksa mengupah Orang Asli untuk mendapatkan periuk kera tersebut dari hutan Bekok dengan kadar upah RM50 sehari bagi setiap orang berbanding 30 tahun lalu yang banyak terdapat di sekitar kampung sahaja.

Sementara itu bagi isterinya, Norasikin Salimin, membuat pulut periuk kera tidaklah begitu sukar dan proses bermula dengan membersihkan periuk kera dengan air dan kemudian dibiarkan untuk beberapa ketika sehingga air basuhan tadi kering.

Norashikin mengukus pulut periuk kera yang ditempah oleh pelanggannya.
Norashikin mengukus pulut periuk kera yang ditempah oleh pelanggannya.

“Kemudian bolehlah masukkan beras pulut yang sudah siap dibasuh sehingga paras tiga perempat penuh dan kemudian masukkan santan kelapa yang sudah dibubuh garam secukup rasa sehingga tenggelam beras pulut tersebut.

“Selepas proses tersebut selesai periuk kera yang telah diisi pulut dan santan itu perlu dikukus selama 15 hingga 20 minit dan selepas itu ianya sudah sedia untuk dihidangkan,” katanya yang mempelajari resepi membuat pulut periuk kera dari arwah neneknya.

(Visited 1,727 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!