SEGAMAT – Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat mencatatkan gred purata sekolah (GPS) sebanyak 3.21 peratus apabila semua 104 calon Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2015 lulus 100 peratus.
Pengetuanya, Mohd Fauzan Mohamed Mokhtar berkata, SMKA Segamat juga berjaya menduduki tempat pertama daripada 25 buah sekolah menengah di daerah ini dalam peperiksaan SPM 2015.
“Pada SPM 2015 ini, jumlah pelajar yang mendapat 11A hanya tiga orang sahaja berbanding dua sahaja pada SPM 2014 dengan GPS sebanyak 2.87 manakala tiada pelajar yang mendapat 10A dan pelajar yang mendapat 9A pula seramai enam orang.
“Keputusan SPM pada kali ini diharap mampu melonjakkan SMKA Segamat sebagai sekolah kluster kecemerlangan dan kita juga menduduki tempat pertama daripada 11 sekolah dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2015,” katanya.
Menurutnya, beliau juga mewajibkan bacaan al-Ma’thurat setiap pagi dan petang kepada setiap pelajar sekolahnya berbanding hanya waktu pagi sebelum ini selain menggalakan para pelajarnya melakukan solat sunat hajat dan dhuha.
Katanya, beliau akan memfokuskan pembentukan akhlak para pelajar terlebih dahulu dan yakin prestasi akademik pelajar akan meningkat seiring dengan akhlak dan sahsiah murni yang terdapat dalam diri mereka.
“Selain memperbanyakkan bacaan al-Quran di sekolah, saya seringkali menasihatkan para pelajar supaya menjaga hubungan mereka dengan ALLAH dan manusia agar segalanya mendapat restu dan keredhaan.
“Sekolah ini juga mendapat anugerah Sahsiah Unggul Murid peringkat kebangsaan untuk dua tahun berturut-turut iaitu pada tahun 2014 dan 2015 dan tambahan pula, kejayaan SPM dan STPM 2014 ini mencapai matlamat sekolah,” katanya.
Comments