SEGAMAT – Kerajaan negeri mahu Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) supaya menjadi sebagai salah satu jabatan teknikal sebelum projek pembinaan sesuatu bangunan di negeri ini diluluskan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, ini kerana salah satu sebab wujudnya tempat pembiakan nyamuk aedes adalah disebabkan oleh faktor reka bentuk bangunan itu sendiri.
“Ada bangunan yang dibina menjadi tempat takungan air tanpa disedari sehingga kerja-kerja memusnahkan tempat pembiakan aedes oleh pihak JKNJ tidak boleh dilakukan kerana tidak mempunyai akses untuk ke tempat takungan air tersebut.
“Oleh itu, ketika Mesyuarat Denggi Peringkat Negeri pada 4 Februari lalu, saya mencadangkan agar setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini melibatkan JKNJ dalam aspek teknikal sekiranya hendak membuat satu binaan atau bangunan,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Sepak Takraw Daerah Segamat berkata kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam Sempena Kejohanan Tertutup Sepak Takraw Negeri Johor di Bandar Utama, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, penglibatan JKNJ dalam aspek teknikal pembinaan bangunan ini juga termasuk memberi pandangan seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 11 Akta Pemusnah Serangga dan Pembawa Penyakit 1975.
“Selain itu, kami juga mendesak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) supaya menurunkan dana mereka dalam bentuk pembelian bahan kimia seperti racun serangga dan bantuan kewangan kepada pasukan Program Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi).
“Ini kerana, di negeri Johor, 80 peratus kes denggi adalah di daerah Johor Bahru yang melibatkan tiga PBT iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG),” katanya.
Pada masa sama, beliau mahu setiap PBT supaya mewujudkan petugas khas untuk menghapuskan tempat pembiakan aedes khususnya di kawasan lapang dan tanah terbiar yang bersempadan dengan kawasan pembangunan.
Selain itu, beliau meminta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (Niosh) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) supaya mengawal tingkahlaku pekerja asing mereka di negeri ini.
“Mereka ini (pekerja asing) mempunyai tingkahlaku yang berbeza dengan budaya penduduk tempatan seperti suka meludah merata-rata dan mewujudkan pembinaan sementara yang mengundang pelbagai penyakit berjangkit,” katanya.
Comments