Persatuan Bola Sepak Daerah Segamat telah menyenaraikan dua pasukan bagi mewakili daerah Segamat untuk bertanding dalam kejohanan Liga Bola Sepak Piala Menteri Besar Johor 2015 yang bermula pada 25 September 2015 dan dijangka berakhir pada 7 November depan.
20 pasukan akan berentap merebut Piala Menteri Besar Johor yang telah dibahagikan dalam empat kumpulan termasuk Racing FC dalam kumpulan B dan PPNJ FC pula dalam kumpulan D.
Kedua-dua pasukan ini merupakan wakil bagi daerah Segamat yang telah dipilih oleh Persatuan Bola Sepak Daerah Segamat untuk beraksi dalam kejohanan Liga Bola Sepak Piala Menteri Besar Johor.
Mohd Faizal Mohamed Said, Pengurus Racing FC berkata pasukan mereka akan memulakan perlawanan kumpulan B pada hari esok, 26 September 2015 mulai jam 4.45 petang bertempat di Padang B Batu Hampar, Segamat.
Manakala bagi PPNJ FC akan memulakan persaingan dalam kumpulan D pada 2 Oktober 2015 mulai jam 4.45 petang di lokasi yang sama.
Liga Bola Sepak Piala Menteri Besar Johor 2015 merupakan salah satu program sukan yang dianjurkan kerajaan negeri menerusi Majlis Sukan Negeri dengan kerjasama Majlis Sukan Daerah dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor.
Comments