SEGAMAT – Tindakan seorang pengedar surat khabar di Kampung Paya Jakas, di sini, yang sering bercerita mengenai mati akhirnya menjadi kenyataan apabila dia terlibat dalam satu kemalangan maut di Jementah, awal pagi kelmarin.
Isteri mangsa, Salmah Putih, 57, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi kelmarin, kenderaan pacuan empat roda yang dipandu oleh suaminya, Zaadon Daud, 61, ditemani menantunya, Abdul Halim Md Aris, 47, hilang kawalan sebelum merempuh pembahagi jalan.
“Ketika kejadian, arwah suami dan menantu dalam perjalanan pulang ke rumah kami selepas menghantar surat khabar ke ejen di sekitar bandar Segamat selepas mengambil daripada ejen di Tangkak.
“Sepatutnya suami tidak menghantar surat khabar semalam (kelmarin) tetapi salah seorang pekerja kami pula berhenti beberapa hari lalu kerana mendapat pekerjaan lain menyebabkan suami terpaksa mengambil alih tugas tersebut,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurut ibu kepada lima anak tersebut, pada hari kejadian, arwah suaminya keluar daripada rumah kira-kira pukul 12 tengah malam dan tidak mahu ditemani olehnya berbanding hari-hari sebelumnya.

Katanya, Abdul Halim yang kebetulan pulang bercuti bersama keluarganya kemudian menawarkan diri untuk menemani bapa mertuanya namun ditolak sebelum dia berkeras kerana bimbangkan keadaan bapa mertuanya yang kurang sihat.
“Mak cik lihat Halim terus meluru masuk ke tempat penumpang pacuan empat roda tersebut tanpa mempedulikan arahan suami mak cik dan akhirnya suami mengalah dan terpaksa membawa Halim sekali bersamanya.
“Kemudian kira-kira pukul 4.30 pagi, Halim menghubungi isterinya memberitahu mereka kemalangan di hadapan sekolah tidak jauh daripada rumah kami namun tidak memberitahu mak cik bahawa suami telah meninggal dunia,” katanya.
Menurutnya, dia yang bergegas ke kawasan kejadian bersama anaknya menyangkakan suaminya hanya cedera ringan terkejut apabila melihat keadaan tempat pemandu pacuan empat roda milik suaminya remuk.
Katanya, anggota polis yang berada di tempat kejadian juga memaklumkan suaminya sudah meninggal dunia kerana mendapat kecederaan parah di bahagian kepala kerana terhentak besi penghadang jalan.
“Mak cik redha dengan ujian ini dan sepanjang minggu lalu juga, arwah suami sering bercerita mengenai mati tanpa mengira masa selain tidak boleh berenggang dengan mak cik sehingga sering diusik oleh tiga anak kami di rumah.
“Mujur menantu mak cik hanya cedera ringan sahaja dan selepas ini kerja-kerja arwah suami akan diambil oleh anak lelaki mak cik kerana kami sudah menjalankan kerja-kerja mengedar surat khabar ini lebih daripada 10 tahun,” katanya.
Comments