LABIS – Disebabkan hobi dan obsesi yang mendalam terhadap barang-barangan lama, seorang lelaki di Taman Seri Emas, di sini, sanggup melepaskan jawatannya sebagai eksekutif kanan di sebuah bank semata-mata untuk menumpukan sepenuh masa terhadap bidang tersebut.
Asrol Talib, 44, berkata, dia yang mula menjadi pencari barangan lama atau ‘pickers’ sejak tahun 2010 juga tidak pernah menganggap keputusannya untuk meletakkan jawatan sebagai pegawai bank satu tindakan yang salah meskipun telah berkhidmat selama 16 tahun ketika itu.
Menurutnya, minatnya menjadi ‘pickers’ juga telah bermula sebelum dia meletakkan jawatan lagi apabila barang pertama yang dibeli ketika itu adalah sebuah ‘walkman’ berharga RM5 yang suatu ketika dahulu menjadi kegilaan pada zaman remajanya.
“Meskipun walkman tersebut sudah tidak berfungsi lagi ketika dibeli, saya tidak kisah kerana ianya mempunyai nilai dan sejarah tersendiri kepada saya sekaligus dapat mengimbau kembali kenangan suatu ketika dahulu.
“Sebagai ‘pickers’, saya kemudian menjual kembali barangan yang saya perolehi termasuk walkman tersebut dengan harga yang berpatutan mengikut keaslian, nilai-nilai sejarah dan sentimental kepada mereka yang berminat,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Asrol berkata, dalam pasaran barangan antik, kebanyakannya tidak diletakkan harga standard dan sekiranya barang itu susah didapati, maka barang tersebut akan lebih mahal harganya selain bergantung kepada pengumpul dan pembeli.
Katanya, faktor nilai ketulenan, sukar didapati, kenangan, nostalgia dan sebagainya turut menjadi pengukur sejauh mana harga sesuatu barangan itu boleh dicapai dan menjadi bahan untuk dikumpul sesetengah individu.
“Pickers juga tidak akan memilih sesuatu barangan dan akan mencari pelbagai barangan tidak kira dari aspek pakaian, botol, tin minuman, almari, jam, radio, televisyen, logo dan banyak lagi.
“Saya tidak akan mengubahsuai barangan yang saya jumpa atau beli sebaliknya mengekalkan seperti keadaan asal supaya keaslian tetap sama seperti dahulu dan sejarahnya lebih terpelihara,” katanya.
Sering disalah anggap pencari barangan lusuh
Menurutnya, dia juga sanggup merantau ke setiap pelusuk negeri ini untuk mencari barangan-barangan lama dan sewaktu pencarian tersebut, dia sering kali di salah anggap sebagai pencari barangan lusuh oleh penduduk setempat.
Katanya, ini kerana dia sering menjadikan lokasi seperti kedai-kedai runcit lama, rumah lama dan bangunan-bangunan tinggal sebagai sasaran kerana baginya barang-barangan lama lebih mudah didapati di sana.
“Jadi, tidak hairanlah sekiranya saya dimarahi dan di salah anggap oleh penduduk setempat namun apabila saya terangkan kepada mereka bahawa saya ini ‘pickers’, mereka boleh bekerjasama malahan turut menunjukkan lokasi yang sepatutnya.
“Kebanyakan orang juga tidak menyangka bahawa barang-barangan yang selama ini dibiarkan begitu sahaja di kawasan rumah mereka mempunyai nilai tanpa disedari seperti mesin jahit Paff Germany model ke-20 yang saya perolehi di Chaah pada harga RM400,” katanya.
Katanya, ada di antara barangan lama yang didapati olehnya tidak mengeluarkan sebarang modal seperti logo zink Coca-Cola yang diperolehinya di sebuah runtuhan rumah kedai di Endau, Mersing.
Menrutnya, dia kemudian memberitahu rakan-rakan ‘pickers’ dan pengumpul barangan antik mengenai penemuan tersebut dan terkejut apabila seorang pengumpul dari Shah Alam, Selangor sanggup membelinya pada harga RM900.
“Falsafah seorang ‘pickers’, mereka tidak boleh ada perasaan sayang untuk menjual barangan yang dicari oleh mereka kepada orang lain dan disebabkan itu, kebanyakan peniaga di bazar-bazar karat memperolehi bekalan barangan daripada kami.
“Ada pembeli yang sanggup datang dari jauh ke rumah saya semata-mata untuk membeli barang-barangan lama yang mampu membangkitkan kenangan mereka dan ada di antaranya golongan profesional seperti pensyarah, doktor dan arkitek,” katanya.
Isteri dan anak-anak faham minat
Menurutnya, dia bersyukur isterinya, Nur Azlina Abdullah, 40, dan lapan anaknya yang berumur di antara lima bulan dan 17 tahun itu memahami minatnya mencari barangan lama sehingga ada kalanya tidak pulang ke rumah selama berhari-hari.
Katanya, obsesinya sebagai ‘pickers’ juga kini menjadi sumber pendapatan utama untuk keluarganya dan kesabaran juga amat penting kerana barang yang diinginkan tidak mungkin dijumpai dengan begitu mudah.
“Mencari barang asli yang tidak dibuat semula amat sukar diperolehi dan oleh itu kesabaran sangat penting dan kini saya juga mampu mengenal dan menilai keaslian sesuatu barangan walaupun barangan itu dikeluarkan sebelum saya dilahirkan lagi.
“Antara barangan yang masih dalam simpanan saya adalah dua tong mengisi getah cair dengan ukiran perkataan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diagihkan kepada penoreh getah pada era Tun Abdul Razak Hussein,” katanya
Comments