SEGAMAT – Polis Diraja Malaysia (PDRM) disarankan supaya mengadakan pelbagai kursus jangka pendek untuk pegawai dan anggota yang akan bersara sebagaimana yang dilakukan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, kursus jangka pendek atau kursus peralihan ini penting bagi kebaikan anggota selepas bersara kerana kembali sebagai orang awam setelah sekian lama berkhidmat mungkin bukan sesuatu perkara yang agak mudah.
“Untuk menyesuaikan diri dengan alam baharu itu pastinya agak sukar pada peringkat awal, apatah lagi jika pesara tersebut menceburi kerjaya yang cukup berbeza daripada bidang pekerjaan sebelum ini.
“Jadi, kursus jangka pendek penting kepada golongan tersebut sebelum menamatkan perkhidmatan bagi membolehkan mereka memperoleh kemahiran dan pengalaman untuk melangkah ke dunia awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa merasmikan Mesyuarat Agung ke-27 Persatuan Polis Pencen Negeri Johor Cawangan Daerah Segamat di Dewan Serbaguna Perumahan Polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat, di sini.
Turut hadir ialah Ketua Polis Daerah Segamat, Supritendan Mohd Kamil Sukarmi; Ketua Masyarakat Kaum Cina Daerah Segamat, Tan Sri Dato Sri Tan Beng Tong dan Pengerusi Tetap Persatuan Polis Pencen Cawangan Daerah Segamat, Hamzah Hussin,
Menurutnya, PDRM juga boleh merangka beberapa kursus berkualiti dan bersesuaian dengan permintaan pasaran semasa sama ada sebagai seorang usahawan atau bekerja makan gaji disediakan untuk mereka.
“Tidak salah sekiranya kita mengambil modul agensi kerajaan yang lain asalkan matlamat atau objektifnya adalah untuk kebaikan bakal pesara selain tidak mengharapkan duit pencen bulanan mereka.
“Selain penekanan kepada ilmu kemahiran, ilmu menguruskan kewangan dengan baik juga perlu didedahkan kepada anggota yang bakal bersara kerana kos sara hidup kini semakin meningkat,” katanya.
Pada masa sama, Anuar meminta Persatuan Polis Pencen Negeri Johor melakukan kerjasama dengan penerbit buku agar pengalaman dan sejarah perjuangan mereka dapat dibaca dan dihayati oleh generasi muda yang akan datang.
Menurutnya, beliau turut mengharapkan lebih ramai pesara polis yang dapat menyertai persatuan tersebut agar kebajikan mereka tetap terbela walaupun selepas berpencen.
Comments