SEGAMAT – Tembok-tembok di Terminal Pengangkutan Awam Segamat, di sini, yang dahulunya ‘muram’ kini kembali ceria apabila mural dilukis dinding tersebut melalui projek komuniti Segamat Street Art (SSA).
Menurut jurucakap SSA yang hanya ingin dikenali sebagai Ale, berkata, projek tersebut merupakan gabungan idea daripada anak muda Segamat yang berbakat dalam bidang seni dan turut dihasilkan sepenuhnya oleh anak jati daerah ini.
“Idea ini sebenarnya sudah lama dirancang tetapi baharu sahaja dilaksanakan pada 27 Ogos tahun lalu selepas mendapat kelulusan daripada Majlis Daerah Segamat (MDS) selain melibatkan kos yang agak besar.
“Bagaimanapun, kami beruntung kerana mendapat tajaan daripada sebuah syarikat tempatan iaitu, Oh Balloon dan kita turut menggunakan dua pelukis yang mahir dalam bidang lukisan mural dan ‘street art’ ini,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, matlamat anak muda daerah ini seperti mereka adalah untuk untuk mewujudkan beberapa tempat lukisan dinding dinamakan ‘Segamat Street Art’ sebagai tarikan baharu di sini dan untuk permulaan, Terminal Pengangkutan Awam Segamat menjadi lokasi pertama.
Katanya, ini merupakan projek perintis pertama mereka untuk melibatkan agensi kerajaan dan swasta dalam projek komuniti setempat di daerah ini di samping dapat menarik minat pengunjung luar yang datang ke Segamat.
“Kami beranggapan lokasi pertama ini sesuai kerana menjadi lokasi tumpuan penduduk setempat dan luar selain keadaannya yang strategik kerana terletak betul-betul di hadapan pasaraya One Segamat.
“Projek ini juga telah siap sepenuhnya pada 2 September yang lalu dan berharap mural ini dapat memberi nilai tambah dan mengindahkan imej daerah Segamat khususnya Terminal Pengangkutan Awam ini,” katanya.
Menurutnya, memandangkan projek ini melibatkan kos, pihaknya juga cuba untuk medapatkan tajaan daripada mana-mana pihak sama ada agensi kerajaan dan swasta sekiranya diberi peluang untuk melukis mural di mana-mana kawasan di daerah ini.
Katanya, usaha itu dianggap penting kerana mampu menarik minat pelancong serta penduduk tempatan untuk bergambar dan menviralkan kenangan di lokasi lukisan mural kepada umum melalui pelbagai saluran media sosial yang ada.
Comments