SEGAMAT – Seorang warga emas di Kampung Melayu Raya, di sini, bijak memanfaatkan sumber yang ada di sekelilingnya dengan menjadikan daun getah sebagai gubahan dan hasil kraf tangan.

Sarumi Bosrom, 67, berkata, dia yang sudah menceburi bidang perusahaan gubahan bunga berasaskan daun getah sejak 15 tahun lalu juga kini menjadi punca pendapatan utamanya setelah permintaan terhadapnya semakin bertambah.

“Mak cik ada kebun getah dan selepas mendapat bimbingan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) pada tahun 2002, mak cik mula aktif dalam pembuatan bunga daun getah ini.

“Pada mulanya, orang tidak tahu ada bunga daun getah kerana tidak ramai pengusaha yang jalankan perniagaan ini di sini dan mereka lebih tertumpu kepada bunga hidup dan tiruan, tetapi lama-kelamaan ia semakin dikenali,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurutnya, keunikan seni gubahan bunga daun getah yang berbeza daripada bunga-bungaan lain telah berjaya menambat hati orang ramai terutama golongan wanita yang gemarkan sesuatu yang cantik serta bersifat semulajadi.

Menurut isteri kepada Daun Maimon, 77, dan ibu kepada lima anak itu, daun getah yang hendak digunakan untuk gubahan juga merupakan daun getah yang muda dan perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum digubah menjadi kuntuman bunga.

“Hanya daun getah yang berkualiti dan tidak berbintik sahaja akan direndam ke dalam air biasa selama sebulan untuk melunturkan warna hijau pada daun tersebut selain membolehkan daun dan urat daun dapat diasingkan..

“Selepas warna itu luntur, daun getah akan direndam pula dalam cecair peluntur selama sejam untuk tujuan memutihkan urat-urat daun sebelum dikeringkan di dalam bengkel dan bukannya di bawah cahaya matahari,” katanya.

Sarumi mengecat sendiri bunga daun getah gubahannya
Sarumi mengecat sendiri bunga daun getah gubahannya

Menurutnya, selepas itu, daun getah tersebut boleh digubah menjadi kuntuman bunga mengikut kreativiti sendiri dan ntara jenis gubahan daun getah yang sering mendapat permintaan daripada pelanggan adalah seperti kuntuman ros, tulip, dan kekwa.

Katanya, dia juga memperolehi peruntukan daripada Risda beberapa tahun dahulu untuk membuat bengkel khas bagi gubahan gaun getah selain aktif menyertai pameran-pameran di peringkat daerah atau kebangsaan seperti Karnival Usahawan Desa (KUD).

“Kadang kala mak cik menggubah bunga mengikut idea sendiri selain mengambil kira pandangan serta kehendak pelanggan dan sehingga kini, tempahan untuk bunga telur yang paling banyak.

“Mak cik juga akan mewarnakan sendiri bunga-bunga ini selepas siap digubah dan proses mewarna ini perlu berhati-hati kerana mak cik mahu menjadikannya seperti bunga hidup apabila siap,” katanya.

Katanya, tempahan bagi bunga telur daun getah juga kebiasannya akan meningkat menjelang musim perkahwinan dan cuti sekolah dan dia menjual setiap kuntum bermula harga RM2.50 hingga RM4 bergantung kepada jenis.

Menurutnya, pasaran bunga daun getah hasil gubahannya juga semakin meluas dan dikenali kerana keunikannya selain pernah mencuba menghasilkan bunga telur menggunakan daun pisang.

“Sekiranya dijaga dengan cermat dan berhati-hati, bunga daun getah ini boleh bertahan sehingga lima tahun lamanya dan hanya perlu disemburkan dengan air bersih selain perlu dielakkan daripada cahaya matahari,” katanya.

(Visited 895 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!