SEGAMAT – Seorang warga emas di Felda Pemanis 2, di sini, berasa kesal dan terkilan apabila mendakwa dirinya ditipu selepas menyertai sebuah peraduan silang kata, bulan lalu.
Mohd Nor Atan, 65, berkata, dia tergerak hati untuk menyertai peraduan tersebut selepas membacanya di sebuah akhbar arus perdana sebelum menghantar penyertaan pada pertengahan bulan Disember lalu.
“Salah satu syarat peraduan tersebut adalah mengkehendaki saya membeli produk keluaran syarikat mereka dan saya terpaksa membelanjakan wang sebanyak RM207 untuk membeli barangan seperti stokin, bantal dan pakaian dalam.
“Kemudian saya menghantar borang peraduan serta resit pembelian ke alamat yang tertera sebelum dihubungi oleh pihak penganjur bahawa nama saya telah terpilih menjadi pemenang utama dengan hadiah wang tunai RM150,000,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, dia yang teruja dengan pengumuman tersebut turut berkongsi kegembiraanya bersama isterinya, Rahmah Khamis, 55, serta tujuh orang anaknya dan mula memasang angan-angan cara untuk membelanjakan wang kemenangan itu.
Katanya, dia juga turut menerima surat pengesahan daripada pihak penganjur yang memaklumkannya mengenai kemenangan tersebut dan menambah lagi keyakinannya bahawa dia telah terpilih untuk memenangi hadiah wang tunai RM150,000 berkenaan.
“Saya sudah menyimpan hasrat untuk mendermakan sedikit wang kemenangan tersebut kepada pihak masjid di sini selain menggunakannya untuk kegunaan kami sekeluarga seperti menunaikan umrah dan membesarkan rumah.
“Namun, pada 21 Disember, pihak penganjur telah menghubungi saya dan memaklumkan bahawa saya tidak layak untuk memenangi wang tunai tersebut kerana kemenangan dikira dengan pembelian produk terbanyak,” katanya.
Menurutnya, dia yang terkejut kemudian meminta penjelasan lanjut tapi terkilan kerana tidak dilayan dengan sebaiknya kerana dimaklumkan lagi tujuh hari sebelum majlis penyerahan hadiah di Kuala Lumpur.
Katanya, pihak penganjur juga tidak menyatakan pemenang dikira dengan pembelian produk terbanyak pada syarat peraduan sedangkan surat pengesahan kemenangan telah diberikan kepadanya sebelum ini.
“Saya juga telah berjumpa peguam untuk tidakan selanjutnya dan menganggap tiada rezeki untuk saya sekeluarga pada kali ini. Saya berharap perkara seperti ini tidak menimpa orang lain pada masa akan datang,” katanya.
Comments