SEGAMAT – Pengalaman helikopter Nuri ditembak pasukan komunis di hutan semasa melaksanakan Ops Gubir sehingga mengakibatkan kecederaan kepada tiga anggota komando yang berada di dalam helikopter tersebut mungkin tidak akan dapat dilupakan oleh Emran Karno, 64, sepanjang perkhidmatannya sebagai anggota keselamatan negara.

Ketika itu dia bersama lima lagi anggota Y Skuadron Rejimen Gerak Khas (RGK) sedang dalam perjalanan ke tapak lokasi pendaratan untuk melakukan pembersihan iaitu menghapuskan ancaman aktif daripada pengganas yang boleh mendatangkan ancaman kepada anggota yang bakal turun daripada helikopter.

“Kami seramai lima orang di dalam pesawat tersebut dikehendaki menyediakan ‘landing point’ untuk pesawat yang membawa anggota Askar Melayu. Selain itu, kami turut memastikan ‘landing point’ tersebut selamat daripada ancaman pengganas dan laluan yang bakal dilalui nanti bersih daripada jerangkap samar.

“Sampai sekarang, saya masih lagi ingat detik pesawat tersebut ditembak bertalu-talu oleh pengganas komunis berhampiran kawasan pendaratan dan juruterbang yang menyedari bahawa pesawat kami ditembak kemudian sempat berpatah balik ke Kem Gubir. Mungkin rezeki kami, setibanya di kem, minyak helikopter habis kerana tangki minyak sudah ditembak,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Emran sewaktu mengikuti latihan di laut
Emran sewaktu mengikuti latihan di laut

Walau bagaimanapun, dia bernasib baik kerana tidak terkena sebarang tembakan manakala tiga lagi rakannya yang turut sama berada dalam pesawat tersebut mendapat kecederaan. Tiga orang rakannya iaitu Truper Sahak mendapat kecederaan di jari, Truper Awang Ibrahim ditembak di peha manakala Sarjan Kassim mengalami kecederaan di bahagian punggungnya.

Tambah memeranjatkan, hasil pemeriksaan mendapati bahawa pesawat tersebut ditembak sebanyak 45 das dan mujur tiada sebarang kemalangan jiwa akibat kejadian tersebut.

Penglibatan awal dalam tentera

Menceritakan pada awal pembabitannya dalam bidang ketenteraan, Emran memulakan tugas seawal usia 23 tahun. Pada tahun 1972, beliau menghadiri temu duga di Gemencheh, Negeri Sembilan dan akhirnya diterima memulakan latihan selama enam bulan di Port Dickson.

Selepas tamat latihan, Emran terus diserapkan ke Batalion 13 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) di Seremban dan pada tahun 1973 dia dipindahkan ke Serian, Sarawak.

Emran (kanan) menerima hadiah perpisahan daripada Pegawai Pemerintah 21 Komando, Leftenan Kolonel Omar Datuk Ismail
Emran (kanan) menerima hadiah perpisahan daripada Pegawai Pemerintah 21 Komando, Leftenan Kolonel Omar Datuk Ismail

Setelah cukup perkhidmatan dua tahun setengah, Emran membuat keputusan untuk menyertai unit elit Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dengan mengambil kursus asas komando di Kem
Sungai Udang, Melaka pada tahun 1974.

“Ketika itu untuk menyertai komando, kita perlu berada di dalam perkhidmatan sekurang-kurangnya dua tahun setengah dan baru boleh mengambil kursus asas komando. Pada waktu itu, dengan azam, minat dan semangat membara saya mengambil keputusan untuk mengambil kursus tersebut.

“Setelah dilanyak dari segi mental dan fizikal selama tiga bulan dengan latihan khusus, barulah saya layak ditaulihakan sebagai anggotakomando sebelum disarungkan beret hijau yang menjadi kebanggan dalam ATM,” katanya yang turut dianugerahkan pelatih muda terbaik asas komando.

Setelah berada di unit komando, Emran telah menyertai pelbagai operasi khusus dan sulit seperti Ops Rangkum, Ops Gonzales, Ops Gubir dan pelbagai lagi yang menguji ketangkasan dan kemahirannya sebagai anggota komando.

Sehari selepas kejadian helikopter yang dinaiki Eman ditembak pengganas semasa Ops Gubir, Emran dan pasukannya telah diarahkan untuk masuk ke kawasan tersebut melalui jalan darat pula dan Pegawai Pemerintah ketika itu ialah Leftenan Kolonel Hasbullah Mohd Yusof.

“Waktu inilah yang tidak akan saya lupa apabila Seksyen Komander saya, Sarjan Jingat yang berasal daripada Sarawak telah terpijak jerangkap samar yang dipasang musuh di kawasan hutan dan mengakibatkan kaki kanannya putus. Tetapi dia tidak mati.

“Selain itu, semasa operasi memburu saki baki komunis di Bukit Kayu Hitam pada tahun 1985 semasa saya di dalam Z Skuadron, kami pernah bertempur dengan musuh sehingga menyebabkn salah seorang anggota komando iaitu Truper Osman meninggal dunia terpijak jerangkap samar di depan mata saya,” katanya.

Aktif dalam kejohanan menembak

Semasa dalam perkhidmatannya, Emran telah menggunakan kepakaran menembaknya untuk menyertai kejohanan-kejohanan menembak yang dianjurkan oleh ATM dan pasukan-pasukan keselamatan negara luar.

“Saya merupakan salah seorang penembak tepat di dalam unit saya dan saya pernah mendapat johan keseluruhan di peringkat antarabangsa iaitu semasa pertandingan di Singapura pada tahun 1983 dan di Brunei pada tahun 1986.

“Disebabkan kepakaran menembak saya itu, saya pernah diamanahkan untuk menjadi jurulatih menembak Bakat (Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera) dan seterusnya sebagai jurulatih komando,” katanya.

Selepas 15 tahun berkhidmat di dalam ATM, Emran mengambil keputusan untuk berhenti daripada tentera pada tahun 1987 dan pangkat terakhir yang disandangnya adalah koperal.

Emran (dua, kanan) sewaktu pertandingan menembak di Brunei
Perjuangannya di dalam ATM kemudian terus disambung oleh anak-anaknya apabila lima orang anak lelakinya mengikuti jejak langkahnya sebagai anggota tentera tetapi tiada seorang pun yang menjadi komando seperti dirinya.

Emran kemudian pulang ke kampungnya di Kampung Sanglang, Segamat dan kemudian menyara diri dan lapan orang anaknya dengan bekerja kebun dan kini dia melakukan pelbagai pekerjaan seperti tukang menggali kubur, pembuat keranda dan deejay majlis-majlis rasmi dan perkahwinan.

“Walaupun sudah lama meninggalkan unit komando, saya masih berjiwa ketenteraan lagi dan semangat sebagai anggota komando masih menebal tambah-tambah lagi selepas menyertai Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM).

“Sebab itu saya marah apabila ada pihak yang cuba membawa balik abu mayat Chin Peng ke negara ini kerana kami telah bermandi darah untuk memastikan negara ini bebas daripada pengganas dan jika diperlukan, saya akan kembali mengangkat senjata bersama-sama berjuang,” katanya.

(Visited 2,343 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!