SEGAMAT – Pekerjaan sebagai tukang kasut tidak diminati oleh golongan muda kerana selain dianggap tidak mampu memberi pendapatan lumayan, kerjaya sebagai tukang kasut ini pastinya bukan pilihan mereka.
Malah, tukang kasut jalanan ini juga mampu menjimatkan kos sehingga ratusan ringgit dengan membaiki semula kasut yang rosak daripada membeli yang baharu dan keadaan tersebut dilihat amat merugikan
Bagaimanapun, dua anak muda di daerah ini mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa kerjaya sebagai tukang kasut juga mampu memberikan pulangan yang lumayan sekiranya diusahakan dengan bersungguh-sungguh.
Bagi Mohd Fitri Supa’at, 24, berkata, dia tidak menyesal menamatkan pengajian dalam bidang perhotelan di sebuah universiti awam di negara ini pada tahun 2009 sebelum memilih untuk menjadi tukang kasut di sebuah kedai kasut di Jalan Aji, dekat sini.
“Saya sudah tujuh tahun menjadi tukang kasut dan masyarakat tidak harus memandang rendah kepada kami hanya disebabkan kami berniaga di kaki-kaki lima dan kedai yang tidak mempunyai pendingin hawa.
“Pada pandangan saya, seorang tukang kasut ini merupakan individu yang beruntung kerana perniagaan ini tidak memerlukan modal permulaan yang besar tetapi mampu memberi pulangan yang lumayan,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurutnya, usaha yang dilakukan oleh tukang kasut seperti dirinya juga tiada bezanya dengan apa yang dilakukan oleh para peniaga kecil lain seperti penjual burger, peniaga pisang goreng atau air tebu di jalanan kerana matlamat mereka hanya mahu mencari rezeki yang halal sahaja
Menurutnya, kerjaya awalnya sebagai tukang kasut juga bermula pada tahun 2008 apabila dia hanya bekerja sambilan sahaja di kedai tersebut sementara menunggu keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) diumumkan.
“Apabila mendapat tawaran untuk melanjutkan pengajian dalam bidang perhotelan, saya terpaksa melupakan sementara kerjaya sebagai tukang kasut. Namun, selepas beberapa semeseter, saya terpaksa berhenti kerana jurusan tersebut tidak selari dengan minat saya.
“Saya kemudiannya bertekad untuk mendalami lagi kemahiran sebagai tukang kasut dan bercadang untuk menjalankan perniagaan sendiri dalam tempoh setahun lagi selepas yakin dengan pengalaman yang ada serta modal mencukupi,” katanya.
Menurutnya, pada peringkat awal juga, dia mengakui pernah berasa rendah diri dengan kerjayanya itu apabila bertemu dengan rakan-rakannya, dan lama kelamaan perasaan tersebut hilang apabila dia mampu meraih pendapatan setanding dengan rakannya yang berkerjaya.
Berbeza pula dengan Mohammad Fikri Yusuf, 20, pula, dia hanya menjadikan kaki lima berhampiran sebuah pasaraya di Jalan Syed Abdul Kadir, di sini, sebagai pusat ‘operasinya’ bagi dia membetulkan kasut para pelanggannya.
“Duduk selama berjam-jam melakukan kerja-kerja membaiki kasut di kaki lima bukan perkara asing bagi saya kerana sebelum ini saya sering membantu ayah yang juga seorang tukang kasut di lokasi sama sejak berumur 14 tahun lagi.
“Bagaimanapun, selepas diberi kepercayaan oleh ayah sejak tiga tahun lalu, saya lebih banyak menghabiskan masa di sini dan berasa bangga mampu menguasai kemahiran membaiki kasut walaupun tidak pernah mendapat pendidikan khusus mengenainya,” katanya.

Bagi pelajar lepasan Giat Mara Segamat itu, dia juga sedang mengintai peluang untuk menyewa sebuah kedai bagi mengembangkan perniagaan yang diambil alih dari bapanya itu dan bercita-cita untuk membuat kasut wanita atas jenamanya sendiri suatu hari nanti.
Menurutnya, dia juga mengakui kerjaya sebagai tukang kasut jalanan seperti dirinya ini turut mengundang perasaan negatif sesetengah pihak dan tambah menyedihkan apabila ada yang melabelkannya sama seperti pengemis dan gelandangan.
“Untuk pengetahuan semua, perniagaan saya ini mempunyai kelulusan daripada Majlis Daerah Segamat (MDS) dan kami tidak suka-suka hati untuk membuka kedai membaiki kasut di kaki lima.
“Tambahan pula, saya hanya menjadikan sebuah rak besi sebagai tempat menyimpan segala peralatan dan kasut–kasut milik pelanggan dan akan memastikan kaki lima kedai ini akan dikemas terlebih dahulu sebelum kedai ditutup,” katanya.

Menurutnya, sekiranya seseorang itu mempunyai minat, penguasaan membaiki kasut tidak memerlukan masa yang lama kerana kebanyakkan peralatan untuk membaiki kasut boleh dibuat sendiri kecuali beberapa peralatan lain seperti pembuat alur benang yang terpaksa dibeli.
Katanya, setakat ini dia selesa melakukan kerja sebagai tukang kasut dan tidak mahu memikirkan pandangan orang lain terhadap apa dilakukannya ini dan bersedia untuk mencurahkan ilmu kemahiran yang ada kepada sesiapa yang berminat untuk mempelajarinya.
Sementara itu, rata-rata pelangan yang menghantar kasut untuk dibaiki oleh tukang kasut jalanan berpuas hati dan yakin dengan kemampuan golongan tersebut yang mampu membaiki semula kasut mereka yang rosak.
Bagi Mohd Ali Musa, 43, berkata, kehadiran tukang kasut yang menawarkan khidmat membaiki kasut di kaki lima sering tidak diendahkan oleh orang ramai malah ada yang memandang rendah kerjaya tersebut sehinggalah mereka memerlukan perkhidmatan mereka.
“Saya pernah menghantar kasut saya untuk dibaiki oleh tukang kasut jalanan termasuk anak muda ini dan hasil kerja mereka sungguh kemas dan ada di antara kasut yang rosak kembali seperti keadaan asal selepas dibaiki.
“Bagi saya, mereka bukan sahaja berdisplin dengan waktu kerja, tetapi pandai melayan pelanggan yang datang untuk mendapatkan perkhidmatan membaiki kasut, selain boleh dijadikan contoh oleh rakan lain kerana tidak memilih kerja untuk mencari rezeki halal,” katanya.
Menurutnya, tukang kasut jalanan yang ada pada hari ini bukan seperti apa yang disangkakan kerana ada di antara mereka yang memiliki ijazah dan memperolehi pendapatan lumayan setanding kerjaya lain walaupun hanya ‘bertugas’ di kaki lima.
Comments