LABIS – Pekebun kecil getah dan sawit di daerah ini yang mempunyai anak bersekolah mungkin boleh menarik nafas lega seketika apabila Bantuan Awal Persekolahan sebanyak RM100 mula diagihkan bermula minggu lalu.

Syahidin Mustapha
Syahidin Mustapha

Seorang bapa di Pekan Air Panas, di sini, Syahidin Mustapha, 38, berkata, ekoran kejatuhan harga dua komoditi tersebut, bantuan seperti ini sedikit sebanyak menolong ibu bapa seperti dirinya yang masih mempunyai anak bersekolah.

“Walaupun pemberian bantuan ini tidak sebanyak mana, namun ianya mampu meringankan beban ibu bapa di sini yang kebanyakannya terdiri daripada pekebun kecil getah dan kelapa sawit yang sedang berhadapan kejatuhan teruk harga getah dan kelapa sawit.

“Pada ketika ini, kami bukan sahaja berhadapan masalah harga getah dan kelapa sawit yang begitu rendah, malah terpaksa juga menghadapi musim daun getah luruh yang menyebabkan hasil getah berkurangan sehingga hampir 50 peratus,” katanya.

Menurutnya, walaupun negara sedang berdepan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu ketika ini, dia bersyukur kerana kerajaan sedia ada masih mampu menghulur pelbagai bantuan kepada rakyat bagi meringankan beban mereka.

Bagi Norahfaziah Jaafar, 42, yang juga seorang pekebun kecil getah berkata, langkah kerajaan memberi bantuan ini kepada murid yang terdiri daripada keluarga penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) adalah satu langkah bijak yang mampu menjimatkan perbelanjaan kerajaan.

“Ini dapat memastikan hanya mereka yang benar-benar memerlukan sahaja menerima bantuan tersebut dan mereka yang tidak tersenarai sebagai penerima harus menerimanya dengan hati yang terbuka kerana masih banyak subsidi serta bantuan lain yang mereka nikmati ketika ini.

“Walaupun pemberian wang bantuan pada kali ini agak lewat berbanding tahun-tahun sebelumnya, namun wang yang diterima masih boleh digunakan untuk membayar apa-apa bayaran persekolahan yang masih tertunggak,” katanya.

Salah seorang bapa penerima Bantuan Awal Persekolahan sedang menandatangani dokumen di SK Pekan Air Panas
Salah seorang bapa penerima Bantuan Awal Persekolahan sedang menandatangani dokumen di SK Pekan Air Panas

Bagi bapa muda, Khairul Anuar Noh, 28,  berkata, pemberian ini adalah salah satu bukti bahawa kerajaan sedia ada bukan sahaja prihatin terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat, malah mengambil berat terhadap pendidikan di negara ini.

“Pelajar hari ini termasuk anak-anak saya amat bertuah kerana kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan serta bantuan termasuk dalam bentuk kewangan bagi memastikan mereka dapat belajar dengan selesa berbanding zaman saya dahulu.

“Saya harap dengan pelbagai kemudahan serta bantuan yang dihulurkan oleh kerajaan kepada pelajar ketika ini akan dapat melahirkan lebih ramai golongan bijak pandai yang mampu mmbanggakan negara pada masa akan datang,” katanya.

(Visited 251 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!