LABIS – Golongan ibu tunggal dan suri rumah di Parlimen Labis digesa mengambil peluang dan memanfaatkan program keusahawanan seperti sulaman, jahitan dan cetakan baju bagi menambah pendapatan mereka.
Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong berkata, inisiatifnya untuk kewujudan Pusat Latihan dan Keusahawanan Labis dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia (Salam) juga bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang berlainan di kawasan parlimennya.
“Umum mengetahui lokasi Parlimen Labis merupakan kawasan berasaskan komoditi sama ada getah serta sawit sahaja dan sekiranya ingin mewujudkan penjanaan ekonomi ini, ianya hanya berteraskan sektor perladangan dan pelancongan sahaja.
“Jadi, pusat ini akan menjadi salah satu nilai tambah dalam kawasan Parlimen Labis terutamanya yang menyokong industri kecil dan sederhana (IKS) dan memberi latihan teknikal kepada golongan sasar,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Latihan dan Keusahawanan Labis di Taman Chaah Jaya, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Operasi Yayasan Salam Malaysia (Salam), Md Ghani Ibrahim; Pengurus Hubungan Korporat Philip Morris Malaysia, Yap Tick Seng dan Ketua Wanita Umno Bahagian Labis, Haslinda Salleh.
Menurutnya, Pusat Latihan dan Keusahawanan Labis juga menyasarkan untuk melatih sekurang-kurangnya 120 pelatih dalam masa setahun dan seterusnya membimbing mereka untuk menjadi usahawan.
“Salam juga akan memainkan peranan untuk mencari kerja atau tempahan selepas peserta tamat latihan dan sekiranya mereka tidak mempunyai mesin jahit atau mesin cetakan, mereka boleh menggunakan mesin yang ada di pusat ini.
“Bagaimanapun, para peserta juga perlu mempunyai komitmen, keazaman dan keteguhan agar mereka komited untuk mengubah nasib mereka kerana kita melaburkan wang kira-kira RM300,000 untuk dua tahun termasuk kos sewa bangunan,” katanya.
Sementara itu, Md Ghani berkata, selain daripada mesin jahitan, Salam juga turut menyediakan mesin sulaman industri yang boleh mengeluarkan empat guni sulaman sekali jalan dan boleh beroperasi selama 24 jam.
Comments