SEGAMAT – Seorang ibu tunggal di Kampung Chodan, di sini, menganggap peristiwa hitam kehilangan suaminya akibat kemalangan jalan raya 16 tahun lalu berulang kembali apabila anak lelakinya pula maut dalam kemalangan jalan raya.
Jamilah Shawal, 63, berkata, kemalangan jalan raya melibatkan anak lelakinya, Anuar Jantan, 39, di Jalan Labis-Segamat pada malam Sabtu lalu mengingatkannya kembali kepada arwah suaminya, Jantan Lambut.
“Arwah suami mak cik meninggal dunia pada tahun 2000 selepas terlibat kemalangan jalan raya di Jementah sewaktu dalam perjalanan ke tempat kerjanya di loji rawatan air di Kampung Paya Jakas.
“Namun, selepas 16 tahun, siapa sangka ALLAH uji mak cik semula apabila anak kedua mak cik pula terlibat dalam kemalangan jalan raya dan kedua-duanya disebabkan oleh kemalangan kereta dan mak cik redha dengan semua ini,” katanya.
Menurut ibu kepada lapan anak itu, kali terakhir dia berjumpa dengan anak keduanya itu adalah kira-kira seminggu sebelum kemalangan tersebut sewaktu anaknya singgah ke rumahnya selepas pulang dari berkhemah di Gunung Ledang.
Katanya, dia hanya mengetahui mengenai kemalangan yang meragut nyawa anaknya itu selepas salah seorang rakan arwah menghubungi salah seorang anaknya yang tinggal bersamanya di rumah tersebut.
“Beberapa hari sebelum arwah kemalangan, perasaan mak cik lain sangat apabila tiba-tiba terindukan dia (arwah) setiap masa walaupun dia seringkali menghubungi mak cik bertanyakan khabar,” katanya.
Sementara itu, isteri arwah, Zalila Kasman, 39, yang merupakan seorang guru berkata, suaminya yang seorang peramah sebelum ini bertukar menjadi pendiam sewaktu mereka pulang ke kampung keluarganya di Felda Chemplak, Jumaat lalu.
Menurutnya, arwah suaminya yang bekerja sebagai Pegawai Seranta di Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) juga sering menghabiskan masa mencium anak angkat mereka, Mohd Afif Zikry, 3, sewaktu di rumah keluarganya.
“Kami berdua menaiki kereta berasingan sewaktu pulang ke rumah keluarga saya kerana arwah suami perlu menyelesaikan kerjanya terlebih dahulu dan sewaktu ingin pulang ke rumah kami pada Sabtu lalu, arwah ada memberitahu saya untuk berjumpa rakannya di Labis.
“Saya sehingga kini masih terkejut dan tidak percaya kehilangan suami selepas dihubungi oleh pihak polis dan punca kematian suami disebabkan paru-parunya tertusuk tulang rusuk selain kehilangan banyak darah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Segamat, Fauziah Yahya yang menyerahkan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) berkata, arwah merupakan seorang pencarum Perkeso dan isterinya juga layak menerima pencen penakat tiap-tiap bulan.
Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Naib Ketua Umno Bahagian Sekijang, Alus Kassim; Ketua Wanita Umno Sekijang, Rahana Mohamed; Ketua Pemuda Umno Sekijang, Salleheen Mohamad dan Ketua Puteri Sekijang, Shabariah Jamaluddin.
Komuniti Facebook Segamat pada 3 April lalu melaporkan Ketua Pemuda Umno Cawangan Bukit Senggir, Anuar Jantan, 39, maut dalam kemalangan selepas kenderaan yang dipandunya hilang kawalan dan terbabas selepas mengelak bangkai seekor babi.
Comments