SEGAMAT – Hasrat bekas pemain bola sepak yang pernah mewakili Johor dalam saingan Liga Malaysia dan Piala Malaysia pada tahun 2000 untuk menonton bola di Stadium Tan Sri Datuk Haji Hassan Yunos, Larkin, menjadi kenyataan.
Mohd Yussalman Jusoh, 36, yang lumpuh daripada paras bahu ke bawah selepas terlibat dalam kemalangan pada tahun 2011 berkata, dia berasa terharu kerana dapat menjejaki kaki ke stadium tersebut selepas sekian lama terlantar sakit.

“Menjadi kenangan terindah bagi saya kerana dapat bersama-sama penyokong JDT menyaksikan perlawanan JDT dan Perak secara langsung kerana sebelum ini saya hanya mampu melihat di televisyen sahaja.
“Selain dapat bersorak dan meraikan kemenangan JDT, bertambah manis apabila Tunku Mahota Johor, Tunku Ibrahim Sultan Ismail sudi bersalaman dengan saya di atas padang sebelum perlawanan bermula,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, dia juga berasa terharu dan terhutang budi terutamanya kepada Yayasan Penyokong Johor dan Ketua Wanita Umno Bahagian Mersing, Alwiyah Talib yang membantu pergerakan dia dan keluarganya untuk ke stadium.
Katanya, selain dapat berjumpa rakan-rakan sepasukan lama, dia sedikit terkilan apabila hasratnya untuk berjumpa ketua pasukan JDT, Mohd Safiq Rahim tidak kesampaian dan hanya dapat melihat aksinya di atas padang sahaja.
“Saya berharap pada masa akan datang impian saya untuk berjumpa dia (Safiq Rahim) akan tercapai dan saya sedikit sebak apabila melihat kelincahan mereka bermain bola kerana saya sudah tidak berupaya untuk berbuat demikian.
“Saya bersama bekas Penolong Pengurus Pasukan Johor FA, Satar Husin seolah-olah diberi penghargaan istimewa oleh Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) dan ini merupakan satu kenangan yang terindah,” katanya.
Dalam kejadian 29 September 2011 kira-kira pukul 11 malam, motosikal yang ditunggangi oleh Yussalman dirempuh sebuah kenderaan sebelum melarikan diri di Bandar Baru Uda, Johor Bahru sewaktu dia dalam perjalanan pulang ke rumah selepas bekerja.
Akibat kemalangan tersebut, dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) dan koma selama 14 hari sebelum disahkan oleh doktor bahawa saraf tunjangnya telah rosak selain pundi kencingnya turut pecah.
Yussalman kemudian terpaksa ditahan di dalam wad selama 44 hari sebelum dibawa pulang oleh isterinya, Norliana Razali, 32, ke kampung mertuanya di Felda Palong Timur 1, di sini, sehingga kini.
Comments