SEGAMAT – Program Jom Baca Bersama 10 Minit yang diadakan serentak di seluruh negara, perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat di negeri sebagai langkah awal memupuk budaya amalan membaca buku.
Pengerusi Jom Baca Negeri Johor, Norshida Ibrahim berkata, budaya membaca dalam kalangan masyarakat di negara ini secara khususnya dilihat kurang mendapat sambutan jika dibandingan dengan rakyat negara luar.
“Masih ramai yang tidak memahami kepentingan membaca seperti membaca buku ilmiah, karya ringan dan surat khabar sehingga kurangnya pengetahuan am di dalam diri dan disebabkan itu minat membaca perlu dipraktikkan sejak awal.
“Disebabkan itu, 23 April setiap tahun dipilih sebagai Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco) bagi mempromosikan budaya membaca seperti program ini,” katanya.
Menurutnya, sempena program tersebut, sebanyak 88 perpustakaan di seluruh negeri Johor melibatkan 49 perpustakaan di bawah kelolalaan kerajaan negeri dan 39 perpustakaan di bawah kelolaan Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) akan terlibat dengan program ini.
“Bagi menyokong usaha ini, pihak Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Johor juga telah mengubah syarat pinjaman buku di perpustakaan di mana setiap orang boleh meminjam sehingga 15 buah buku berbanding lapan buah buku sebelum ini.
“Walaupun kami menanggung risiko kehilangan dan kerosakan buku disebabkan syarat pinjaman baharu ini, saya berharap supaya setiap peminjam bertanggungjawab dengan buku yang dipinjamnya dan pulangkan semula ke perpustakaan selepas dua minggu,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta perpustakaan-perpustakaan di negeri ini supaya sentiasa mengemaskini bahan bacaan mereka dan mempelbagaikan lagi aktiviti bagi menarik minat masyarakat di sekeliling perpustakaan tersebut.
Comments