SEGAMAT – Sepasang suami isteri di Bandar IOI, di sini, yang dalam perjalanan pulang melawat anak sulungnya di sebuah hospital di Johor Bahru terkejut apabila dimaklumkan bumbung rumah mereka diterbangkan ribut.
Mohd Jamaluddin Shahrul Imam, 49, berkata, dia dan isterinya, Hayati Ahmad, 47, dimaklumkan mengenai kejadian tersebut oleh anak bongsunya, Mohd Haikal Aizat, 17, yang menghubunginya.
“Ketika itu kami dalam perjalanan pulang dari Johor Bahru dan memang dalam keadaan hujan lebat dan Mohd Haikal tidak ikut bersama kerana masih bersekolah dan berada di rumah seorang diri ketika kejadian.
“Saya dimaklumkan kejadian berlaku kira-kira pukul 5.30 petang semasa hujan lebat dan akibat pusaran angin yang terlalu kuat, atap genting di tingkat atas rumah kami turut diterbangkan angin,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, dia yang tiba di rumahnya pada lewat petang kemudian mendapati bumbung pada bilik stor dan bilik Mohd Haikal sudah rosak selain beberapa barangan dan peralatan turut rosak kerana dibasahi air hujan.
Katanya, ini merupakan kejadian ribut yang pertama sejak dia menetap di rumah berkenaan kira-kira 20 tahun lalu dan belum menganggarkan jumlah kerugian yang dialaminya selain akan segera membaikinya dalam masa terdekat.
Bagi suri rumah, Maslina Othman, 42, berkata, pada awalnya dia menyangka bunyi kuat pada luar rumahnya disebabkan oleh tong kosong yang dijatuhkan angin sebelum mendapati atap rumahnya juga turut diterbangkan angin.
“Memang ketika itu hujan lebat serta tiba-tiba kedengaran bunyi kuat dan saya memberanikan diri memeriksa di luar rumah dan terkejut apabila mendapati terdapat serpihan atap genting yang sudah jatuh ke tanah.
“Saya kemudian menghubungi suami yang kebetulan berada di luar rumah supaya segera pulang dan suami mendapati beberapa keping atap bumbung rumah telah diterbangkan angin,” katanya.
Sementara itu, Adun Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau meminta supaya mangsa ribut segera membuat laporan polis di balai polis berhampiran sebelum mengemukakan salinan laporan dan gambar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Katanya, selain beberapa rumah di Segamat Baru dan Bandar IOI yang rosak akibat ribut, beberapa sekolah seperti di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Putra dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Jagoh, di sini, turut mengalami nasib yang sama.
“Kesemua mangsa yang rumahnya terjejas juga akan dibantu dalam masa terdekat selepas proses pendokumentasian selesai,” katanya.
Comments