LABIS – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Wilayah Segamat menyasarkan sebanyak 100 koperasi berdaftar di daerah ini menjelang tahun 2017 berbanding sebanyak 86 koperasi ketika ini.
Pegawai SKM Wilayah Segamat, Rosdi Abu Bakar berkata, 90 peratus daripada jumlah tersebut adalah koperasi milik kaum Melayu yang bergerak aktif dalam pelbagai bidang perniagaan terutamanya bidang pertanian.

“Melalui bancian yang dijalankan, tidak sampai 10 peratus koperasi berdaftar di daerah ini yang bermasalah dan tidak aktif disebabkan pelbagai faktor seperti kelemahan pengurusan serta hilang minat dalam kalangan ahli.
“Pihak kami sentiasa memberi galakkan serta bimbingan kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk menubuhkan koperasi kerana cara tersebut adalah jalan paling mudah untuk ahli melibatkan diri dalam perniagaan,” katanya selepas hadir memantau Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Smilian Felten Johor Berhad di Felda Tenang, baru-baru ini.
Menurutnya, koperasi memberi kelebihan kepada ahlinya untuk menyertai pelbagai bidang perniagaan termasuk yang memerlukan modal besar kerana jumlah modal yang banyak dapat dikumpul dengan mudah melalaui koperasi berbanding secara individu.
Katanya, kerajaan juga sentiasa membuka peluang dan menggalakkan mana-mana pihak terutama bumiputera untuk menubuhkan koperasi bagi membangunkan ekonomi ahli-ahlinya dengan menceburkan diri di dalam pelbagai bidang perniagaan.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Smilian, Hamdan Ibrahim, berkata, keahlian adalah terbuka kepada semua bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Ibrahim Labis bagi tempoh 1980 hingga 1984 selain dibuka kepada mereka yang berminat.
“Sekiranya terdapat permintaan menggalakkan daripada mereka yang bukan pelajar daripada tahun berkenaan, kami mungkin membuka peluang kepada mereka untuk turut serta bagi sama-sama terlibat dalam sebarang aktiviti perniagaan yang bakal kami ceburi nanti.
“Setakat ini seramai hampir 100 bekas pelajar telah mendaftar sebagai ahli dan sebilangan besar mereka yang tinghal di luar Labis menunjukkan minat untuk pulang menghadiri mesyuarat agung pertama ini,” katanya.
Comments