SEGAMAT – Selepas sambutan yang cukup meriah diterima daripada pengunjung semasa siri jelajah pertama Karnival Jcorp (Johor Corporation) di Dataran Tanjung Emas, Muar pada April lalu, kini penduduk di daerah Segamat pula berpeluang menikmati kemeriahan tersebut.
Siri kedua Karnival Jcorp yang akan bermula pada 21 hingga 23 Mei ini di kawasan lapang, Bandar Utama Segamat (tapak Bazaar Ramadhan) juga akan dilengkapi dengan pelbagai program dan pengisian yang menarik.
Bagi anak jati daerah ini yang ingin menyambung pelajaran, Johor Corporation menyediakan peluang untuk menyambung pengajian ke KFCH International College manakala bagi mereka yang mencari peluang pekerjaan, pelbagai kekosongan jawatan juga turut ditawarkan sepanjang karnival ini berlangsung. Antara syarikat yang terlibat ialah:
- KFC
- Pusat Pembangunan Tenaga Industri Johor (Puspatri) dan
- KPJ Universiti College (KPJUC).
Selain berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan secara percuma di KPJ, pelbagai pengisian yang bermanfaat akan diadakan pada hari pertama (21 Mei- Khamis) seperti pertandingan kompang berirama, ceramah ‘Sedekah dan Waqaf Sebagai Saham Akhirat’ anjuran Waqaf An-Nur Corporation pada malamnya.
Hari kedua karnival ini pula (22 Mei- Jumaat) pula memperlihatkan kayuhan berbasikal sejauh 25 kilometer secara sihat dan selamat iaitu ‘Segamat MTB Funride’ dan terbuka kepada mereka yang berumur 18 tahun ke atas dan t-shirt percuma juga disediakan untuk 200 penyertaan terawal SAHAJA.

Pengunjung juga akan disajikan dengan persembahan keroncong dan silat Melayu pada petang hari kedua karnival ini. Bagi memeriahkan lagi karnival ini, artis-artis popular personaliti Astro seperti kumpulan Lampu (Raja Lawak) dan Yazer AF turut akan membuat persembahan pada malamnya.
Bagi ibu bapa yang mahu memanfaatkan cuti hujung minggu bersama keluarga dan anak-anak kecil mereka, Pertandingan Mewarna Bagi Kategori Kanak-Kanak Bersama Maskot Upin & Upin akan diadakan pada hari kedua (22 Mei-Jumaat).
Bagi mereka yang memiliki bentuk tubuh badan yang ‘sado’, pertandingan ‘Badang Man’ boleh digunakan sebagai pentas untuk mereka mencipta ruang dan peluang selain juara berpeluang memenangi wang tunai RM500 selain mengikuti syarat dan terma yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur.

Hari terakhir karnival ini juga turut menyaksikan pertandingan ‘Gusti Lengan’ yang terbuka kepada semua kaum lelaki rakyat Johor khususya penduduk Segamat yang berumur 18 tahun ke atas. Dengan yuran penyertaan percuma, juara berpeluang memenangi wang tunai RM500.

Bagi mereka khususnya penduduk daerah ini yang belum merancang sebarang aktiviti pada hujung minggu ini, marilah beramai-ramai meluangkan masa untuk mengunjungi karnival JCorp ini kerana anda pasti akan disajikan dengan pelbagai aktiviti yang menarik dan bermanfaat.
Comments