LABIS – Perkembangan teknologi komunikasi dan dunia tanpa sempadan ketika ini mendedahkan golongan remaja di negara ini kepada pengaruh negatif budaya barat serta keruntuhan nilai murni dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.
Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, namun langkah pelbagai pihak mewujudkan pelbagai pertubuhan seperti Pergerakan Puteri Islam Malaysia (PPIM) di sekolah dan pusat pengajian tinggi sejak lebih dua dekad lalu berjaya mengimbangi masalah tersebut.
“Melalui PPIM, bimbingan serta panduan dapat diberikan kepada anak gadis bermula peringkat pendidikan sekolah rendah lagi agar mereka tidak mudah terjebak dengan pelbagai masalah sosial yang semakin kritikal ketika jni.
“Dalam masa yang sama mereka diberikan pendedahan terhadap baik buruk pengunaan pelbagai aplikasi serta laman sosial secara berlebihan sekaligus pelbagai masalah sosial dapat dibendung,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya ketika merasmikan Mesyuarat Agung PPIM Peringkat Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Munshi Ibrahim Labis, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, pelbagai aktiviti positif yang dijalankan oleh PPIM dapat memantapkan lagi ilmu keagamaan dalam kalangan ahli bagi melahirkan wanita dinamik yang mempunyai jati diri unggul apabila menginjak usia dewasa.
Pada masa sama, beliau berharap ahli-ahli PPIM tidak sekadar menjadi ahli semata-mata, sebaliknya harus melibatkan diri secara lebih aktif dengan kegiatan-kegiatan yang lebih mencabar bagi mempersiapkan diri dengan pelbagai cabaran pada abad ke-21 ini.
Katanya, ahli-ahli PPIM perlu mengambil setiap peluang yang ada bagi mempelajari selok belok kepimpinan sepanjang tempoh menjadi ahli agar mereka mampu menjadi pemimpin muslimah sekurang-kurangnya dalam sebuah keluarga suatu hari nanti.
“Dalam menempuh kehidupan yang semakin mencabar pada hari ini, kepimpinan PPIM juga harus sentiasa fokus dan tidak mudah hilang tumpuan daripada matlamat asal penubuhan PPIM bagi melahirkan insan mulia yang mampu menyumbang kepada kemakmuran negara.
“Saya berharap PPIM akan terus berusaha mempertahankan perpaduan dan keharmonian antara ummah serta masyarakat berbilang kaum di negara ini bagi menjamin kemakmuran dan kesejahteraan yang dinikmati ketika ini turut dirasai oleh genarasi akan datang,” katanya.
Comments