SEGAMAT – Seorang anak peneroka Felda Pemanis 2, di sini, terpaksa melahirkan anak keduanya di dalam kereta dengan disambut oleh bapanya sendiri di hadapan Klinik 1Malaysia (K1M) Taman Yayasan, di sini, Ahad lalu.
Norsahida Sabran, 29, berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 8.20 malam itu, dia melahirkan bayi perempuannya di tempat duduk belakang kereta Proton Saga milik bapanya, Sabran Yusuf, 69, dengan ditemani anak sulungnya, Akif Hazim Mohd Ridzuan, 5, dan adiknya.
“Sebenarnya, selepas Maghrib perut saya mula tidak selesa seperti mahu bersalin dan meminta ayah supaya menghantar saya ke Hospital Daerah Segamat (HDS) dan ketika tiba di simpang masuk Felda Pemanis, air ketuban saya mulai pecah.
“Ayah kemudian menjadi panik kerana jarak hospital masih lagi jauh ditambah pula dengan keadaan saya menahan sakit ketika itu menyebabkan keadaan menjadi sedikit kelam kabut,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat, semalam.
Menurutnya, dalam keadaan kelam kabut itu, bapanya terlihat papan tanda K1M di Taman Yayasan, di sini, sementara adik perempuannya bergegas memanggil kakitangan yang bertugas untuk melihat keadaannya ketika itu.
Katanya, berbekalkan pengalamannya yang bertugas sebagai kakitangan kesihatan di Kuala Lumpur, dia cuba meneran dan melihat keadaan bayinya yang hampir terkeluar, bapanya kemudian membantunya untuk menyambut bayinya itu.
“Ini merupakan pengalaman baharu bagi saya bersalin di dalam kereta dan saya bersyukur kerana dengan sekali teran, bayi saya keluar dengan selamat dan kakitangan K1M yang membantu memotong tali pusat.
“Sepatutnya, jangkaan saya bersalin ialah esok (hari ini) dan mujur saya mengambil cuti awal kerana saya dan suami berhasrat untuk melahirkan anak kedua di Segamat selepas kelahiran anak pertama di Sarawak lima tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, dia yang dibawa masuk ke K1M turut dikerumuni oleh pesakit-pesakit yang mendapatkan rawatan ketika itu dan bertambah terharu apabila ada pesakit yang memberikan bayinya itu duit.
Katanya, dia bersama bayinya kemudian dibawa ke HDS menaiki ambulans Klinik Kesihatan Buloh Kasap dan kini bayinya ditahan di dalam wad untuk pemerhatian doktor dan diberi antibiotik kerana bimbang jangkitan kuman bersalin di dalam kereta.
Jelasnya, suaminya, Mohd Ridzuan Mohd Din, 34, yang bekerja di Kuala Lumpur juga sudah dimaklumkan mengenai kelahiran tersebut dan dia juga berasa sedikit teruja dengan peristiwa berkenaan.
Comments