SEGAMAT – Kebanyakan pekebun kecil getah di daerah ini meminta kerajaan agar menaikkan kadar harga jualan getah beku di peringkat ladang dan kadar bantuan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kerana lebih 50 peratus pendapatan mereka berkurangan ketika ini.
Penoreh getah, Mohd Pisal Idris, 62, berkata, sejak November lalu, Lembaga Getah Malaysia (LGM) menetapkan pekebun kecil akan menikmati bayaran sebanyak 10 sen sekilogram sekiranya getah di peringkat ladang berada pada paras RM2.10 sekilogram dan ke bawah.
“Pendapatan kebanyakkan penoreh getah terutama yang mengambil upah mengerjakan kebun orang lain kini menyusut lebih 50 peratus menjadi sekitar RM500 sebulan menyebabkan ada di antara kami kini berada di bawah garis kemiskinan yang ditetapkan kerajaan.
“Saya harap kerajaan dan LGM dapat mencari jalan terbaik bagi menaikan harga getah di peringkat ladang iaitu pada RM3 sekaligus meningkatkan kadar IPG yang kami sifatkan terlalu rendah dan tidak mencapai matlamat membantu meringankan beban pekebun kecil,” katanya.

Sementara itu, Bahari Ismail, 38, yang mempunyai tiga orang anak turut mengakui pendapatannya hanya sekitar RM300 sebulan selepas dibahagi dengan ibunya hasil menorah kebun milik keluarganya seluas satu hektar.
Katanya, dia terpaksa melakukan pelbagai kerja lain seperti mengambil upah meracun kebun penduduk kampung serta mengait buah kelapa sawit untuk menambah pendapatan walaupun ada kalanya tidak larat untuk membuat beberapa kerja berat dalam tempoh sehari.

“Dua anak saya masih bersekolah dan memerlukan belanja yang besar dan saya tiada pilihan sekain melakukan pelbagai kerja bagi mencari wang sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan untuk menyara keluarga.
“Bantuan IPG sebanyak RM30 sebulan yang diterima juga sebenarnya tidak mencukupi dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup sekarang dan sekiranya boleh, kami mahu IPG ini dapat ditingkatkan lagi,” katanya.
Menurutnya, selain itu juga, dia terpaksa berulang alik untuk membuat tuntutan ke pejabat LGM Segamat dengan mengemukakan resit jualan dan kad Permit Autoriti Transaksi getah (PAT-G) walaupun jumlah insentif yang diterimanya terlalu kecil.

Bagi Omar Ahmad, 72, berkata, dia yang mengusahakan sendiri kebun getahnya seluas satu hektar hanya mampu memperolehi pendapatan kira-kira RM600 sebulan sahaja dan selepas dicampur dengan bantuan IPG, pendapatannya masih tidak mencukupi.
“Kami bukan tidak bersyukur dengan pemberian kerajaan, tetapi kami berharap agar LGM mengkaji semula kadar harga getah di ladang sebanyak RM 2.10 ketika ini kepada RM3 bagi setiap kilogram.
“Saya percaya kerajaan sedia ada merupakan kerajaan yang prihatin serta mendengar suara hati rakyat dan situasi semasa yang begitu menekan pekebun ketika ini adalah kesempatan terbaik kerajaan untuk membuktikan mereka sentiasa bersedia membela nasib kami,” katanya.
Comments