LABIS – Seorang ibu tunggal di Felda Maokil, di sini, merayu supaya anak perempuannya yang merupakan anak kelima dari enam beradik agar pulang ke pangkuan keluarga selepas tiga bulan menghilangkan diri.
Jamaliah Miskun, 54, berkata, anaknya, Nurul Asmiza Tukiman, 24, dipercayai dibawa lari oleh seorang lelaki warganegara Indonesia yang merupakan rakan sekerjanya di sebuah kilang kayu di Sungai Karas, di sini, pada 14 November lalu.
“Tambah menyedihkan mak cik, Nurul menghilangkan diri sehari sebelum hari ulang tahun kelahirannya yang ke-23 dan dia juga ada memberitahu mak cik untuk menyambut majlis hari lahirnya bersama rakan-rakan sekerja di kilang.
“Pada awalnya, mak cik menyangkakan Nurul tidur di rumah rakan perempuannya kerana tidak berani untuk menunggang motosikal pulang ke rumah pada waktu malam dan tidak mengesyaki sebarang perkara yang buruk,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, namun selepas dua hari, anaknya itu tetap tidak pulang ke rumah serta tidak menghubunginya sebelum meminta anak sulungnya, Hafizal, 35, supaya pergi memeriksa ke kilang Nurul bekerja.
Katanya, dia juga dimaklumkan bahawa Nurul sudah tidak datang bekerja selepas 14 November selain mendapati motosikalnya masih diletakkan di ruang parkir motosikal manakala rakan-rakan sekerjanya juga tidak mengetahui kehilangan Nurul.
“Mak cik ada juga berusaha untuk menghubungi telefon bimbit Nurul namun tidak berjaya dan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini, mak cik membuat satu laporan polis di Balai Polis Labis pada 16 November lalu.
“Bagaimanapun, beberapa hari selepas laporan polis dibuat, Nurul menghubungi mak cik dan memberitahu dia berada di Kluang dan tambah mengejutkan mak cik, Nurul sudah berkahwin bersama lelaki Indonesia yang melarikannya itu,” katanya.
Menurutnya, dia bersama Hafizal juga kemudian memujuk Nurul dan ‘suaminya’ itu supaya pulang ke rumah untuk berbincang memandangkan status pernikahannya masih diragui kerana dilakukan tanpa diwakili oleh wali.
Katanya, Nurul kemudian menegaskan bahawa pernikahannya itu sah kerana dilakukan dengan wali hakim dan memberitahunya bahawa suaminya itu melayannya dengan baik dan berharap keluarganya tidak mempertikaikannya.
“Kali terkahir mak cik bercakap dengannya melalui telefon pada akhir bulan Disember tahun lalu dan Nurul memberitahu bahawa dia dan suaminya kini tinggal di Klang, Selangor dan bekerja kilang.
“Selepas itu, mak cik gagal menghubunginya lagi dan sebagai seorang ibu, perasaan rindu terhadap anak sentiasa ada dan mak cik sekeluarga juga sudi memaafkan dan menerima pasangan Nurul itu,” katanya.
Menurutnya, dia yang masih bekerja di sebuah kilang biskut di Batu Pahat berkata, dia juga ada bertemu para pengamal perubatan Islam dan mereka memberitahu bahawa Nurul sudah disihir dan berharap pintu hati anaknya itu terbuka untuk pulang ke pangkuan keluarga kelak.
Comments