SEGAMAT – Majlis Agama Islam Johor (Maij) mahu amil-amil yang dilantik di negeri ini bertindak sebagai individu pertama yang menyalurkan bantuan kepada mangsa musibah dan asnaf di kawasan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Rofiki Shamsuddin berkata, amil-amil ini juga boleh dianggap individu terpenting kerana mereka merupakan golongan yang menguruskan dua tanggungjawab asas iaitu mengutip dan mengagihkan zakat.
“Selain mengutip dan mengagihkan zakat, tujuan kita (Maij) melantik amil-amil di setiap mukim di negeri ini juga bertujuan untuk menjadi orang tengah iaitu penyampai maklumat berkenaan penduduk yang perlu diberikan bantuan zakat.
“Buktinya, dalam tempoh lapan bulan ini kita berjaya menyelesaikan 1,200 kes berkenaan penduduk di negeri ini yang perlu diberikan bantuan zakat hasil maklumat daripada amil-amil ini yang diberikan kepada kami (Maij),” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan Bantuan Awal Persekolahan Sekolah-Sekolah Agama Daerah Segamat di Sekolah Agama Bandar Segamat.
Turut hadir ialah Kadi Daerah Segamat, Sulaiman Maidin dan Pegawai Pendidikan Islam Daerah Segamat, Faiz Rohani.
Menurutnya, selain bancian yang dilakukan oleh amil, Maij juga mengharapkan kerjasama pemimpin masyarakat setempat untuk memaklumkan jika ada penduduk di kawasan mereka yang memerlukan bantuan.
“Selain amil-amil kutipan dan agihan ini, Maij juga akan melancarkan amil saham wakaf pada bulan Mei ini bagi mencari lebih ramai pewakaf selain memperkasakan institusi wakaf itu sendiri.
“Bagi peringkat permulaan, daerah Johor Bahru akan menjadi perintis dan apabila melihat hasilnya, kita akan memperluaskan amil saham wakaf ini ke daerah-daerah lain selain memudahkan orang Islam untuk berwakaf hanya dengan membeli kupon,” katanya.
Pada masa sama, bagi membuktikan kesungguhan kerajaan negeri dalam bidang pendidikan agama, Maij juga akan meneruskan pemberian bantuan secara ‘one-off’ sebanyak RM5,000 kepada setiap badan-badan kebajikan sekolah agama di negeri ini.
Menurutnya, selain bantuan secara ‘one-off’ dan bantuan awal persekolahan, pelbagai bantuan lain melibatkan pendidikan yang telah diusahakan oleh Maij seperti bantuan pendaftaran institusi pengajian tinggi dan bantuan pakaian sekolah kepada mereka yang layak.
“Sumber kewangan yang digunakan untuk membiayai mana-mana bantuan Maij adalah melalui sumber wang zakat yang dipungut daripada masyarakat Islam di dalam negeri Johor dan kita berharap berlakunya peningkatan pembayar zakat di masa hadapan,” katanya.
Comments