SEGAMAT – Seorang pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Nurkasih, Felda Pemanis, di sini, yang juga penhidap autisme dinobatkan sebagai Tokoh Autisme peringkat daerah Segamat.
Mohd Azmeer Ithnin, 26, berkata, dia mula dikesan menghidap penyakit tersebut ketika berusia dua tahun selepas mengalami deman panas sehingga menjejaskan pertuturan dan perkembangan mindanya.
“Ketika itu, saya mula mengalami masalah pembelajaran dan ketika bersekolah rendah dan menengah, saya semakin kurang bercakap namun penyakit ini tidak mempengaruhi perkembangan fizikal saya.
“Semasa di sekolah menengah, saya ditempatkan di kelas pendidikan khas dan pada umur 18 tahun sehingga sekarang, saya dihantar ke PDK Nurkasih dan secara perlahan-lahan saya cuba untuk buktikan bahawa pesakit autisme juga mampu untuk berjaya,” katanya.
Menurutnya, di PDK, dia didedahkan dengan ilmu-ilmu kemahiran seperti menjahit serta melukis selain pernah memenangi dua pingat emas dalam acara boling padang dan badminton pada Sukan Paralimpik Johor pada tahun 2012.
Katanya, pada tahun lalu juga dia memperolehi anugerah Pelatih Cemerlang Orang Kelainan Upaya (OKU) peringkat negeri Johor dan mengakui kelas pendidikan khas serta PDK banyak memberikannya terapi sehingga mampu menjadi seorang yang berdikari.
“Walaupun saya dikategorikan sebagai OKU, ini tidak menjadi penghalang bagi saya untuk membuktikan kemahiran dan kemampuan saya terutamanya dalam bidang kemahiran dan sukan.
“Saya berharap lebih ramai pesakit autisme di daerah ini dapat berfikiran lebih positif kerana banyak pihak sekarang cuba membantu dan memberi sokongan kepada kami terutamanya kerajaan,” katanya.
Bagi bapanya, Ithnin Bohari, 63, berkata, sejak mengetahu anaknya menghidap penyakit autisme, dia tetap memberikan pendidikan dan rawatan yang sewajarnya selain tidak pernah berasa rendah diri.
Katanya, dia gembira apabila dapat melihat anaknya itu mampu berfikiran positif dan berdikari dan berharap setiap anugerah yang diterimanya itu mampu menjadi pendorong kepada diri anaknya dan pesakit autisme yang lain pada masa hadapan.
Comments