SEGAMAT – Persepsi masyarakat yang beranggapan bahawa profesion kejururawatan hanya dikhaskan untuk golongan wanita sahaja mungkin boleh ditepis apabila ramai golongan lelaki yang kini mula meminati kerjaya tersebut.

Ini kerana, ramai kaum Adam di luar sana yang mula menyedari bahawa bidang tersebut tidak hanya dikhaskan kepada satu gender sahaja selain mahu bersama kaum Hawa mencurahkan bakti dalam bidang kejururawatan.

Jururawat lelaki tidak kekok dalam melaksanakan tugas mereka
Jururawat lelaki tidak kekok dalam melaksanakan tugas mereka

Bagi seorang jururawat lelaki, Mohd Thaqib Mohd Khalid, 28, berkata, dia yang telah tiga tahun berkihdmat sebagai jururawat tidak menafikan pada awalnya ramai rakan-rakannya yang mempersendakan keputusannya untuk menjadi seorang jururawat.

Menurutnya, selain minat untuk mencuba bidang pekerjaan yang berbeza dan tidak ramai yang diceburi oleh golongan lelaki, ibunya, Junaidah Tahar, 58, yang juga pesara jururawat menjadi inspirasi untuknya terlibat di dalam bidang ini.

Mohd Thaqib Mohd Khalid
Mohd Thaqib Mohd Khalid

“Sebenarnya kerjaya jururawat ini tidak pernah ada dalam kamus hidup saya dan apabila dapat tawaran untuk ke Kolej Sains Kesihatan Bersekutu (KSKB) Sungai Buloh pada tahun 2009, saya enggan mensia-siakannya.

“Ketika itu, ada rakan-rakan yang memerli saya bahawa kerjaya jururawat lelaki ini hanya untuk wanita sahaja dan orang yang berjiwa ‘lembut’ dan tidak sesuai untuk lelaki seperti saya namun saya tidak patah semangat begitu sahaja,” katanya kepada Komuniti Segamat.

Katanya, dia yang kini bertugas di Wad Psikiatrik Hospital Daerah Segamat (HDS) sejak tahun 2012 juga tidak pernah berasa terpinggir dan malu dengan kerjaya tersebut malahan berbangga kerana mampu berkhidmat dan mencurahkan bakti kepada masyarakat.

Sanggup berhenti belajar untuk jadi jururawat

Bagi Arif Amirul Semail, 30, yang hampir sembilan tahun menjadi jururawat berkata, pada tahun 2008, dia yang sedang mengikuti kursus pra-diploma Sains Fizik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak sanggup menamatkan pengajiannya selepas ditawarkan menjadi jururawat.

Arif Amirul Semail
Arif Amirul Semail

Menurutnya, perasaannya ketika itu berbelah bahagi sama ada mahu meneruskan pengajian yang berada di semeseter kedua atau bekerja sebelum ibunya, Ramlah Ayub, 60, memintanya menjadi jururawat ekoran kesukaran mendapat kerja ketika itu.

“Tambahan pula, ibu yang menghidap penyakit tiroid berharap sangat saya menjadi jururawat agar dapat menjaganya ketika sakit dan itu menjadi penguat kepada saya sewaktu belajar kejururawatan di KSKB Sungai Buloh.

“Saya juga tidak menyesal untuk berhenti belajar di UiTM ketika itu kerana sewaktu di KSKB saya belajar mengenai ilmu baharu terutamanya bidang kesihatan dan kejururawatan yang sebelum ini terlalu asing bagi saya,” katanya.

Katanya, dia yang kini bertugas di Wad Psikiatrik HDS sejak tahun 2012 mengakui ‘soft skill’ dan ‘sentuhan’ jururawat lelaki lebih lembut atau setanding dengan jururawat wanita dalam menguruskan pesakit.

Menurutnya, walaupun jururawat lelaki masih dianggap ‘minoriti’, dia kini berbangga dengan uniform putihnya dan menyifatkan penglibatannya dalam dunia kejururawatan sebagai perkara berharga yang pernah dilakukan sepanjang hidupnya.

“Bagi masyarakat umum, jururawat adalah kerjaya perempuan tapi saya memandangnya pada persepsi lain yang mana kerjaya ini mampu memberi peluang cerah kepada saya selain dapat menyelamatkan pesakit.

“Tambah berharga dan manis, dengan menjadi jururawat saya bertemu jodoh dan berkahwin dengan isteri saya, Rosmayati A Manan, 25, pada 30 Ogos tahun lalu dan dia juga seorang jururawat di HDS,” katanya.

Kerja untuk gaji dan pahala

Abdul Hazem Hafezuddin Abdul Hamid
Abdul Hazem Hafezuddin Abdul Hamid

Bagi Abdul Hazam Hafezuddin Abdul Hamid, 25, berkata, dia yang merupakan pemegang Diploma Kejururawatan dari Kolej Universiti Islam Selangor (Kuis) menjadikan kerjaya jururawat sebagai medan ibdahnya.

Menurut anak kedua dari lima beradik itu,  dia mengaplikasikan pengetahuannya dalam bidang usrah dan dakwah sebagai kekuatan untuk dirinya bagi membantu para pesakit khususnya yang beragama Islam.

“Selain melakukan kerja-kerja jururawat, pada masa sama saya turut mengingatkan pesakit supaya banyak bersabar, menjaga solat serta hubungan dengan ALLAH walaupun ketika sakit menggunakan pendekatan tertentu.

“Pengalaman yang tidak dapat dilupakan adalah ketika mula-mula menjadi jururawat dua tahun lalu apabila saya mengajar pesakit yang sedang nazak mengucap dua kalimah syahadah sebelum dia menghembuskan nafas terakhir di pangkuan saya,” katanya.

Menurutnya, dia yang kini bertugas di Wad Ortopedik Lelaki di HDS juga terkilan apabila ada anak-anak yang melepaskan tanggungjawab mereka terhadap ibu bapa sepenuhnya kepada jururawat.

Permintaan jururawat lelaki semakin bertambah

Sementara itu, Pengarah HDS, Dr Aman Rabu berkata, HDS mula menerima jururawat lelaki sejak tahun 2008 dengan tiga jururawat lelaki sebelum bilangan tersebut bertambah kepada 23 ketika ini.

Menurutnya, kesemua mereka bertugas secara professional dan ditempatkan di wad-wad lelaki dan pihaknya juga tidak pernah membezakan di antara jururawat lelaki dan wanita kerana masing-masing mempunyai kecekapan tersendiri.

Sebahagian jururawat lelaki yang terdapat di HDS
Sebahagian jururawat lelaki yang terdapat di HDS

“Bagi saya, jika pesakit rasa selesa dan yakin dengan ciri ‘maskulin’ seorang jururawat lelaki, maka tiada masalah bagi pesakit serta pihak pengamal perubatan menerima kehadiran jururawat lelaki bertugas di hospital,” katanya.

(Visited 2,273 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!