SEGAMAT – Penduduk di daerah ini merayu agar Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengkaji semula cadangan untuk menutup cawangannya di Pasaraya Kip Mart, di sini, bermula hujung bulan hadapan.
Seorang penduduk, Kwek Chiang Siang, 65, berkata, sekiranya PTPTN menutup operasinya, dia yang membayar pinjaman pengajian anak bongsunya setiap bulan terpaksa pergi ke bank atau pejabat pos untuk membuat pembayaran pada masa akan datang,
“Berurusan di pejabat pos atau bank untuk melakukan urusan pembyaran pinjaman akan memberi masalah kepada kami sebagai pelanggan kerana terpaksa beratur panjang serta dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM2 setiap kali berurusan.
“Bagaimanapun, sekiranya kami mempunyai urusan lain selepas ini seperti mahu membuat penstrukturan semula pinjaman dan rundingan mungkin terpaksa ke pejabat PTPTN di daerah lain seperti Kluang atau Muar,” katanya kepada Komuniti Segamat.
Menurutnya, dia menyifatkan cadangan PTPTN untuk menghentikan operasi mereka di daerah ini adalah tidak wajar selain menyifatkan kakitangan yang bertugas adalah cekap dan mendapat layanan yang memuaskan setiap kali berurusan.
Bagi Mahfuzah Mohamad, 40, berkata, kaunter tersebut merupakan satu-satunya kaunter PTPTN yang terdapat di Segamat dan langkah menutup operasinya akan memberi masalah kepada penduduk di sini yang mahu berurusan dengan PTPTN.
“PTPTN sepatutnya menambah bilangan kaunter sedia ada di sini kerana perkhidamatannya diperlukan oleh penduduk dari beberapa negeri lain yang bersempadan dengan Segamat seperti Gemas, Selancar dan Muadzam Shah.
“Saya berharap pengurusan tertinggi PTPTN dapat mengambil kira keperluan penduduk di sini dan saya percaya sejak ada cawangan PTPTN di sini, segala urusan seperti pembayaran dan segala masalah berkaitan PTPTN dapat dilakukan dengan lebih mudah,” katanya.
Bagi Mohd Fakhrul Radzi, 20, berkata, dia yang baharu sahaja mendapat tawaran melanjutkan pelajaran sudah beberapa kali berurusan di kaunter tersebut untuk mendapat penjelasan mengenai syarat dan cara untuk membuat pinjaman.
Menurutnya, dia juga mengakui kewujudan kauter tersebut banyak membantunya dan penutupannya akan memberi masalah kepada bakal mahasiswa yang mendapatkan khidmat nasihat serta penjelasan mengenai PTPTN daripada pegawainya secara bersemuka.
Sementara itu, Pemangku Pengurus Cawangan PTPTN Segamat, Akmal Abu Hassan berkata, kaunter PTPTN di daerah ini mula beroperasi sejak Ogos tahun lalu selain mengakui jumlah kutipan yang diperolehi mencatatkan peningkatan setiap bulan.
“Kami baharu sahaja dimaklumkan mengenai perkara ini (penutupan) melalui e-mail pada bulan lalu dan segala keputusan sama ada untuk menutup atau meneruskan operasi akan ditentutkan oleh pengurusan tertinggi.
“Secara peribadinya, saya juga berharap agar operasi PTPTN di daerah ini dapat diteruskan memandangkan keperluannya yang mendesak dan terdapat beberapa pelanggan yang merayu kepada saya agar penutupan ini dibatalkan,” katanya.
Comments