LABIS – Seramai 20 pelajar Kolej Komuniti Segamat (KKS) teruja apabila berpeluang mengikuti program khidmat masyarakat membuat lukisan mural berkonsep alam semulajadi di dinding bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tenang, di sini, baru-baru ini.
Pengurus Projek, Haslinda Mohd Rosli berkata, program tersebut merupakan projek perintis yang melibatkan pelajar- pelajar semester satu dan dua kursus animasi 2D, Penyelengaraan Bangunan dan Pemasangan Elektrik.
“Selain memberi peluang kepada peserta untuk menyumbang kepada masyarakat, program ini juga sebagai landasan terbaik kepada mereka untuk menyesuaikan diri dengan masyarakat selepas menamatkan pengajian mereka nanti.

“Di samping itu, aktiviti yang mereka lakukan ini juga mendidik mereka agar mengamalkan sikap bertolak ansur, bekerjasama serta bersungguh-sungguh dalam apa jua pekerjaan yang dilakukan,” katanya ketika ditemui di SK Kampung Tenang.
Menurutnya, hasil sumbangan yang diperolehi melalui program kemasyarakatan ini juga akan disumbangkan kembali ke dalam tabung amanah kolej kerana selain mencurah bakti kepada masyarakat, pada masa sama para pelajar akan menyumbang kepada KKS.
Bagi Mohammad Fitri Jamal, 18, pelajar semester pertama kursus pemasangan elektrik mengakui tidak berminat dengan aktiviti melukis sebelum ini, namun berasa semakin yakin untuk melukis selepas mendapat tunjuk ajar dari Haslinda sepanjang program tersebut berjalan.
Katanya, dia tidak akan melepaskan peluang untuk menyertai program seumpama ini pada masa akan datang kerana selain berpeluang berkenalan dengan masyarakat luar, aktiviti tersebut dapat menghilangkan tekanan belajar.
Bagi Azleen Syawalliz Ahmad, 18, pelajar semester pertama Animasi 2D menyifatkan program tersebut peluang terbaik bagi dia dan rakan lain untuk menyumbang tenaga kepada masyarakat selain kesempatan terbaik memyesuaikan diri dengan masyarakat luar.
“Apa yang menarik, kami diajar membancuh dan mencampurkan warna dengan cara yang betul bagi mendapatkan pelbagai warna lain untuk digunakan bagi membuat lukisan dinding dengan hanya menggunakan empat warna asa iaitu putih, merah, kuning dan biru.
“Selain itu kami juga didedahkan dengan teknik melukis dengan pelbagai cara dengan menggunakan pelbagai alat termasuk span dan jari yang tidak pernah kami ketahui sebelum ini,” katanya.
Comments