SEGAMAT – Seseorang individu yang dilantik menjadi ketua kampung seharusnya mengutamakan kepentingan penduduk yang terdapat dibawah jagaannya melebihi daripada kepentingan diri sendiri. Sebagai pemimpin, ketokohan dilihat dari segi kemampuan memegang amanah dan menyampaikan nasihat, kerana kedua-dua sifat ini berkaitan kehidupan keluarga atau masyarakat dipimpin.

Bagi Ketua Kampung Paya Lebar, Batu Anam, Rahmad Sidin atau lebih dikenali sebagai Tok Rahmad, 67, berkata, berbekalkan kepada prinsip tersebut juga yang menyebabkan dia sentiasa dekat dihati dan disenangi oleh penduduk kampung tersebut.

Menurutnya, dia juga merupakan ketua kampung pertama yang dilantik pada tahun 2006 untuk menerajui Kampung Paya Lebar kerana sebelum ini pentadbiran kampung tersebut diletakkan bawah pentadbiran Mukim Jementah Dua sebelum berlakunya penstrukturan semula.

Perlu berfikiran terbuka dan berpandangan jauh

Bagi pesara tentera tersebut, dia yakin sekiranya untuk menjalani hidup secara beriltizam, ia perlu bermula dengan memahami dan membina tapak kejayaan sebelum diterjemahkan kepada sebuah bentuk kepimpinan untuk dimanfaatkan oleh penduduk kampung.

Katanya, sebagai seorang ketua kampung juga, beliau perlu berfikiran terbuka dan memandang jauh kehadapan dengan merancang cara hidup dan matlamat yang hendak dicapai bagi memastikan Kampung Paya Lebar mampu untuk bersaing dengan kampung-kampung yang lain.

Di antara penduduk kampung yang menyertai misi bantuan banjir ke Kelantan, baru-baru ini
Di antara penduduk kampung yang menyertai misi bantuan banjir ke Kelantan, baru-baru ini

“Saya seringkali mengingatkan penduduk kampung dan ahli jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) supaya terus menyokong saya selagi kepimpinan saya ini tidak menimbulkan sebarang mudarat kepada mereka.

“Sekiranya ada, saya sentiasa bersikap terbuka untuk mengundurkan diri dan memberi laluan kepada orang lain dan Alhamdulillah setakat ini saya masih menerima sokongan padu dan kerjasama yang baik daripada penduduk kampung,” katanya.

Menurutnya lagi, berkat kepimpinan dan kerjasama yang baik daripada penduduk kampung juga melayakkan kampung tersebut memenangi Anugerah Desa Cemerlang dan Anugerah Surau Cemerlang peringkat daerah Segamat pada tahun 2008.

Katanya, sepanjang menjadi ketua kampung juga, beliau berjaya menyelesaikan isu tanah terpendam selama 33 tahun dan mendapatkan surat hak milik kepada 56 orang penduduk yang menduduki tanah tersebut.

“Terima kasih juga kepada keprihatinan Menteri Besar Johor ketika itu, Datuk Abdul Ghani Othman yang memberikan surat hak milik tanah tersebut selepas saya dan beberapa ahli JKKK saya berhempas pulas untuk menyelesaikan isu tanah tersebut.

“Bagi saya, terlalu sukar untuk menghampakan permintaan penduduk kampung kerana saya sebagai ketua kampung yang diamanahkan perlu membela kebajikan mereka walaupun terpaksa memerah keringat,” katanya.

Gembira kampung semakin dikenali

Menurut bapa kepada 10 anak itu, beliau gembira apabila nama Kampung Paya Lebar semakin dikenali sejak beberapa tahun kebelakangan ini pada masa yang sama menarik perhatian pengunjung luar untuk ke Kampung Paya Lebar.

Katanya, Kampung Paya Lebar yang terletak bersebelahan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Segamat serta berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Segamat dan Kolej Komuniti Segamat Dua itu turut membantu menaikkan nama Kampung Paya Lebar.

Tok Rahmad (dua,kiri) sewaktu menyerahkan sijil penghargaan kepada wakil Pulapol Segamat
Tok Rahmad (dua,kiri) sewaktu menyerahkan sijil penghargaan kepada wakil Pulapol Segamat

“Kesemua kawasan tersebut berada di bawah pentadbiran saya dan saya juga mempunyai hubungan baik dengan ketiga-tiga institusi tersebut. Disebabkan itu, mereka juga tidak keberatan sekiranya saya memerlukan khidmat mereka untuk melakukan gotong royong dan sebagainya.

“Saya perlu mempunyai banyak idea dan strategi untuk memajukan kampung dan bagi saya apabila sesuatu kerja itu telah dirancang, kita perlu memperhalusinya terlebih dahulu sebelum dibuat kerana saya tidak suka sesuatu kerja itu bertangguh,” katanya.

Menurutnya, dia yang dikenali oleh penduduk kampung dengan ketegasannya itu turut mengharapkan ahli JKKK nya akan terus bergerak bersamanya untuk membantu masyarakat yang berada dalam kesusahan.

Katanya, begitu juga dengan keharmonian yang dikecapi oleh masyarakat dalam kawasannya, dia mahu menjadikan mereka antara yang terbaik di daerah ini, termasuklah aktif dalam pelbagai bidang yang boleh menaikkan nama kampungnya.

Turut libatkan belia dalam aktiviti kampung

Selain menjadikan ahli JKKK nya menjadi peka serta aktif dan masyarakat dalam kawasannya menjadi yang terbaik, TokRahmad juga tidak pernah meninggalkan golongan belia yang tinggal di dalam kawasannya.

Rahmad Sidin
Rahmad Sidin

Katanya, dia juga berusaha untuk mendapatkan gelanggang futsal berhampiran surau dan balai raya kampung tersebut pada tahun 2011 dan tidak pernah berputus asa meskipun beberapa kali permohonannya itu ditolak.

“Tujuannya adalah untuk mengelakkan golongan belia di kawasan ini terlibat dengan gejala sosial dan mereka boleh memanfaatkan waktu lapang mereka dengan bersukan dan beriadah dengan cara yang sihat.

“Sebarang aktiviti atau program belia dan persatuan di Kampung Paya Lebar juga turut saya sokong dan baru-baru ini Kampung Paya Lebar ini turut terlibat sebanyak dua kali dalam program bantuan pasca-banjir di Kelantan,” katanya.

Pada masa sama, Tok Rahmad juga sedang berusaha untuk mendapatkan kelulusan daripada Majlis Agama Islam Johor (Maij) bagi membolehkan penduduk kampungnya menunaikan solat Jumaat di surau Kampung Paya Lebar.

(Visited 1,221 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!