SEGAMAT – Seorang pemuda di Kampung Padang Kiambang, di sini, terpaksa mengharapkan bantuan ibu dan adik beradiknya yang lain untuk menguruskan diri selepas dikesan menghidap kanser hati tahap empat.
Zanariah Hamdan, 36, berkata, adiknya, Muhamad Saiful Nizam, 32, dikesan menghidap penyakit tersebut pada 27 Disember tahun lalu selepas mengadu tidak selesa pada bahagian perutnya.
“Sebelum ini dia (adik) tinggal bersama saya dan suami di Jerantut, Pahang dan bekerja sebagai pembawa jengkaut dan saya lihat keadannya sebelum ini sihat. Cuma kadang-kala dia sering mengadu sakit perut sahaja.
“Pada pertengahan Disember lalu, dia mengadu pada saya mengalami sakit teruk pada bahagian perut dan terus membawanya ke klinik kesihatan sebelum kakitangan di sana mengarahkan saya membawanya untuk ke Hospital Jerantut untuk rawatan lanjut,” katanya.
Dia ditemui semasa menerima lawatan Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim dan kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Segamat di rumah keluarganya, di sini, kelmarin.
Menurutnya, dia kemudian mengambil keputusan untuk membawa adiknya ke Hospital Daerah Segamat (HDS) dan selepas rawatan dan pemeriksaan, doktor mengesahkan adiknya menghidap kanser hati tahap empat pada 27 Disember lalu.
“Doktor juga memberitahu kami bahawa hati Saiful juga telah rosak dan sel-sel kanser tersebut turut merebak ke anggota badan lain seperti paru-paru, limpa dan jantung dan punca dia sakit perut sebelum ini juga bukan disebabkan oleh gastrik.
“Dia juga baharu dibenarkan keluar daripada hospital pada 30 Januari lalu dan doktor hanya memberi ubat penahan sakit tetapi tidak melakukan kemoterapi kerana keadaan Saiful yang tidak mempunyai harapan,” katanya.
Bagi salah seorang kakaknya, Norfaziah Hamdan, 36, berkata, kini dia bersama ibunya, Miah Kamat, 62, yang menguruskan Saiful seperti memandikannya dan menyuapakn air dan makanan selepas adiknya itu hilang keupayaan untuk berbuat demikian.
Menurutnya, saluran darah Saiful juga disahkan tersumbat dan doktor hanya membenarkan Saiful meminum air sebanyak 500 mililiter (ml) sehari bagi mengelakkan perutnya mengembung kesan daripada penyakitnya itu.
“Pada usianya lapan tahun, Saiful pernah menjalani pembedahan pada kaki kanannya kerana urat kakinya terputus selepas terkena rim motosikal dan terpaksa dimasukkan banyak darah dan doktor mengesyaki sakitnya sekarang mungkin berpunca daripada kuman dalam darah.
“Bagaimanapun, kami sekeluarga tetap berusaha untuk merawat penyakitnya sama ada secara moden atau tradisional dan kini, kami 16 beradik sentiasa memberi sokongan kepadanya kerana tidak mahu dia lemah semangat,” katanya.
Sementara itu, Norshida berkata, JKM telah meluluskan Bantuan Pesakit Terlantar (BPT) sebanyak RM300 sebulan kepada Muhamad Saiful Nizam selain akan mengusahakan bantuan-bantuan lain kepada keluarga tersebut.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menghubungi Norfaziah di talian 0197399793 atau menyalurkan sumbangan ke akaun Bank Islam miliknya bernombor 01078020349068.
Comments