SEGAMAT – Seorang warga emas di Kampung Gubah, di sini, setia menjaga suami dan anak perempuan tunggalnya yang menghidap penyakit mental di rumah usang peninggalan keluarga mereka.

Zainab Mohd Salleh, 72, berkata, suaminya, Mohd Nor Umar, 74, kini hanya menghabiskan masanya dengan duduk di dalam rumahnya sahaja bersama anak tunggalnya, Siti Hawa, 36, selepas kedua-dua mereka disahkan menghidap penyakit mental.

“Suami mak cik memang daripada dahulu menghidap penyakit mental tetapi jika hendak dibandingkan keadaannya dahulu dengan sekarang, terlalu banyak perubahannya apabila dia bertambah baik dan lebih terkawal.

“Dia (suami) sebelum ini memang tidak pernah bekerja tetap hanya mengambil upah-upah bekerja kampung manakala mak cik pula mengambil upah mengajar anak-anak orang kampung belajar mengaji dan berzanji,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.

Menurutnya, dia yang sudah 34 tahun tinggal di rumah peninggalan keluarga suaminya itu juga yang terpaksa mengambilalih tanggungjawab menguruskan keluarga termasuk menyekolahkan anaknya itu.

Katanya, anaknya pula dikesan menghidap penyakit mental seawal usia 16 tahun ketika sedang bersekolah di Sekolah Tinggi Segamat, di sini, namun sempat menghabiskan persekolahannya di peringkat menengah dan agama.

Anuar (kiri) melihat keadaan dapur lama Zainab yang hampir menyembah bumi.
Anuar (kiri) melihat keadaan dapur lama Zainab yang hampir menyembah bumi.

“Ketika itu, Siti Hawa sering mengadu kepada saya bahawa pandangan matanya sering gelap dan merasakan dirinya seolah-olah diperhatikan oleh orang sekeliling sehingga mengakibatkan dia tidak mempunyai ramai rakan ketika bersekolah.

“Doktor juga mengesahkan Siti Hawa juga turut mempunyai masalah mental mungkin disebabkan oleh masalah keturunan dan kini menerima suntikan setiap bulan selain terpaksa bergantung kepada ubat setiap hari,” katanya.

Menurutnya, beberapa bulan lalu, Siti Hawa juga pernah bertindak ganas mencekik dan mencakar mukanya secara tiba-tiba namun sempat disedari oleh suaminya yang menghalang sebelum Siti Hawa ditahan selama sebulan untuk pantauan di Hospital Daerah Segamat (HDS).

Katanya, disebabkan keadaan dapurnya yang usang dan hampir menyembah bumi, kaki kanannya pula tersimbah air panas sehingga mengakibatkan betisnya melecur dan menderita selama enam bulan pada tahun lalu.

“Mak cik tidak berani untuk gunakan dapur itu lagi untuk memasak dan suami kemudian memasang kanvas di luar rumah untuk dijadikan dapur dan mak cik juga terpaksa menarik getah paip dari rumah jiran untuk mendapatkan bekalan air bersih.

“Sekiranya mak cik hendak pergi ke pasar atau bandar, mak cik hanya berjalan kaki sahaja dan Alhamdulillah mak cik masih diberikan kesihatan yang baik untuk menjaga suami dan anak pada usia sebegini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap yang melawat keluarga berkenaan berkata, Zainab menerima bantuan bulanan sebanyak RM300 manakal anaknya RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, beliau juga akan mendaftarkan Zainab sebagai peserta e-Kasih bagi membolehkan menerima bantuan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) memandangkan keadaan rumahnya yang uzur dan tidak selamat untuk diduduki.

(Visited 232 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!