SEGAMAT – Muslimin dan muslimat khususnya penduduk daerah ini dijemput menghadiri Forum Perdana Ehwal Islam di Dewan Serbaguna Segamat pada 7 Januari 2016 (Khamis) yang akan disiarkan secara langsung melalui TV1 pada jam 9 malam.
ADUN Kemelah, Datuk Ayub Rahmat berkata, forum tersebut yang merupakan julung kali diadakan di daerah ini merupakan anjuran bersama Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) Dun Kemelah, Pejabat Daerah Segamat dan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri Johor dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
“Muslimin dan muslimat juga dijemput hadir sebelum atau pada 6.45 petang dan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun tidak dibenarkan masuk ke dalam dewan kerana tidak mahu mengganggu proses siaran langsung dijalankan.
“Tambah menarik, selain siaran langsung yang akan dipaparkan di TV1, turut diadakan adalah rakaman forum yang akan dipaparkan pada masa akan datang mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Bagi siaran langsung, moderator forum akan dipimpin oleh Dr Ridhuan Tee Abdullah dengan dua panel iaitu Ustaz Dr Mohd Farid Ravi dan Ustaz Dr Mohd Sukki Othman.
Bagi proses rakaman pula, Dr Ridhuan Tee kekal sebagai moderator manakala panel-panelnya pula ialah Ustaz Norhisham Tuan Padang dan Ustaz Dr Mohd Farid Ravi.
“Semoga forum ini dapat berjalan dengan lancar dan mendapat sambutan kerana kita mahu permulaan tahun baharu 2016 ini menyuntik semangat kecintaan kepada agama Islam selain mengukuhkan semangat perpaduan sesama muslim,” katanya.
Comments