SEGAMAT – Banjir yang melanda daerah ini sejak Sabtu lalu mendapat perhatian dari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berkenan melawat mangsa di pusat pemindahan banjir di Balairaya Gemereh 4, di sini, hari ini.
Baginda yang diiringi oleh Pegawai Daerah Segamat, Ahmad Ma’in dan ketua-ketua jabatan di daerah ini tiba di Balai Raya Gemereh 4 pada jam 9.45 pagi yang menempatkan lima keluarga dan 25 mangsa banjir.
Dalam lawatan singkat itu, baginda sempat beramah mesra dengan mangsa yang berada di pusat pemindahan tersebut yang telah berada di sana sejak tengahari Sabtu lalu, selain berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan berkenaan.
Sementara itu, Ahmad Ma’in menyifatkan lawatan Sultan Johor ke pusat pemindahan ini melambangkan keprihatinan baginda terhadap nasib dan keadaan rakyat di negeri ini ketika ditimpa musibah.
“Walaupun dalam suasana ditimpa bencana banjir pada ketika ini, namun kehadiran baginda sedikit sebanyak membawa keceriaan kepada mangsa-mangsa banjir di sini.
“Kemungkinan, dalam masa terdekat ini mereka akan dibenarkan pulang ditambah pula dengan keadaan cuaca yang cerah dan baginda juga turut berpesan supaya sabar dan menganggap semua ini adalah ujian daripada Tuhan dan saya sendiri bersyukur bencana banjir di daerah ini tidak begitu teruk,” katanya.
Sementara itu, bagi mangsa banjir, Raja Mohamad Arif Raja Shahrin,10, dia yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemereh, di sini, sanggup tidak pergi ke sekolah semata-mata tidak mahu melepaskan peluang bertemu dengan Sultan Ibrahim.
Menurutnya, walaupun kedua ibu bapanya tidak bersetuju pada awalnya dia tidak pergi ke sekolah, namun baginya peluang tersebut merupakan kesempatan terbaik untuknya bertemu dengan sultan yang dia kagumi selama ini.
“Hari ini (semalam) merupakan hari bersejarah buat diri saya kerana selain berpeluang bersalaman dengan baginda, saya turut menerima beg sekolah serta alat tulis yang disampaikan sendiri oleh baginda kepada saya dan mangsa banjir yang lain.
“Saya bercadang untuk menyimpan beg serta perlatan yang diterima daripada baginda sebagai kenang-kenangan kerana pemberian ini merupakan sesuatu yang amat berharga buat saya setakat ini,” katanya.
Comments