SEGAMAT – Seorang wanita di Segamat Baru, di sini, terpaksa menggunakan beg stoma untuk membuang najis sepanjang hayatnya selepas disahkan menghidap kanser usus pada tahun 2009.

Norsiah Dol, 57, berkata, pada awalnya dia hanya mengalami sakit perut sehingga terlalu kerap membuang air sehingga menjejaskan aktiviti hariannya yang ketika itu bekerja sebagai operator di sebuah kilang di Kulai.

“Ketika itu mak cik anggap hanya diserang gastrik sahaja namun selepas beberapa minggu, sakit tersebut tidak juga kurang sebelum mak cik nekad pergi ke Unit Kecemasan Hospital Kulai untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Ujian sampel najis yang dijalankan ketika itu mendapati mak cik disahkan menghidap kanser usus dan mak cik dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) kerana pembedahan perlu dilakukan segera kerana bimbang sel kanser tersebut merebak ke tempat lain,” katanya.

Dia ditemui semasa Program Jalinan Kasih bersama Jawatankuasa Ekspedisi Enam Gunung Hospital Daerah Segamat (HDS) yang diketuai oleh Pengarahnya, Dr Mokhtar Ahmad, di rumahnya, baru-baru ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan juga turut mendapati terdapat batu karang di dalam hempedunya dan doktor juga terpaksa menjalankan dua pembedahan iaitu pembedahan membuang sel kanser pada ususnya dan pembedahan membuang batu karang tersebut.
“Dalam pembedahan tersebut, usus mak cik telah dipotong dan itu juga kali pertama mak cik memakai beg stoma dan mak cik juga terpaksa berulang alik ke hospital untuk menjalani rawatan susulan.

“Mak cik ketika itu tinggal menumpang bersama anak saudara dan selepas pembedahan tersebut, mak cik terus berhenti kerja dan mengikut anak saudara pulang ke kampung di Felda Keratong, Pahang,” katanya.

Menurutnya, selepas hampir dua tahun disahkan pulih daripada kanser usus dan tidak perlu bergantung kepada beg stoma, dia tidak menyangka apabila diserang sekali lagi kanser tersebut pada tahun 2012.

“Pembedahan kedua dibuat pada 15 Disember 2012 di HDS dan dalam pembedahan tersebut, doktor menutup terus lubang najis mak cik kerana tidak mahu komplikasi lain timbul dan mak cik hanya mengikut sahaja.

“Pada bulan Februari 2014 pula, mak cik buat pembedahan kali ketiga di Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk membuang rahim kerana kanser tersebut sudah merebak ke rahim selain telah beberapa kali menjalani rawatan kemoterapi dan radioterapi,” katanya.

Menurutnya, dia yang tidak pernah berkahwin kini tinggal menyewa selepas kematian anak saudaranya dua tahun lalu dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Katanya, beg stoma tersebut juga diperolehi secara percuma daripada Majlis Kanser Nasional (Makna) setiap enam bulan sekali selain risau terpaksa diusir oleh pemilik rumah sewanya kerana tidak mampu untuk membayar sewa rumah.

(Visited 1,911 times, 1 visits today)

Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Sign In

Register

Reset Password

Please enter your username or email address, you will receive a link to create a new password via email.

error: Alert: Content selection is disabled!!