SEGAMAT – Kecenderungan pelbagai pihak mempertikaikan kedudukan raja-raja Melayu, hak keistimewaan orang Melayu dan kesucian agama Islam kebelakangan ini membuktikan ada di antara rakyat negara ini yang tidak memahami kandungan Perlembagaan Persekutuan.
Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang bertulis tertinggi di negara ini mesti difahami dan dihayati semua yang bergelar warganegara Malaysia.
“Kita kena menerima hakikat bahawa tidak ramai rakyat negara ini yang memahami dan menghayati kandungan Perlembagaan Persekutuan, malah tidak keterlaluan jika saya katakan terdapat segelintir dalam kalangan mereka memang tidak ambil peduli langsung.
“Bagi mengatasi masalah tersebut, satu kajian perlu dibuat dengan segera oleh Kementerian Pendidikan agar Perlembagaan Persekutuan diajar di sekolah seawal peringkat menengah rendah lagi,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Pertandingan Sketsa Rukun Negara Kelab 1Malaysia Peringkat Negeri Johor di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Segamat, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Johor, Zainuddin Ismail; Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim dan Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim.
Menurutnya, perkara tersebut sepatutnya telah dilakukan sejak dahulu lagi kerana sebagai warganegara, semua rakyat di negara ini perlu mengetahui dan menghormati apa yang terkandung di dalam perlembagaan.
Katanya, satu kajian menyeluruh perlu digerakkan dengan segera bagi menilai keperluan menjadikan Pelembagaan Persekutuan sebagai subjek di sekolah kerana gesaan untuk menghayati dan mengamalkan prinsip rukun negara tidak memberi kesan secara jelas.
“Tdak dinafikan dalam subjek Pengajian Am di Tingkatan Enam ada mengupas kandungan Perlembagaan Persekutuan. Namun, itu tidak mencukupi kerana tidak diajar secara khusus serta bilangan mereka terlalu kecil dan tidak mewakili keseluruhan pelajar di negara ini.
“Semua perkara yang dipertikaikan oleh pihak tertentu termasuk perkara yang menyentuh kesucian agama Islam, hak orang Melayu dan raja tidak sepatutnya berlaku sekiranya mereka memahami kandungan serta bagaimana Perlembagaan Persekutuan dibua,” katanya.
Menurutnya, perlembagaan merupakan satu jaminan taat setia rakyat kepada negara seperti dijelaskan dalam perkara 24 dan 25 yang menyatakan warganegara yang mempunyai kerakyatan negara lain dan terbukti tidak setia kepada negara boleh dilucutkan kerakyatannya.
“Selain itu, rakyat juga perlu diperjelaskan berkenaan perkara 152 dan fasal 1 perkara 3 masing-masing yang menyentuh secara jelas berhubung Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi serta agama Islam sebagai agama rasmi di negara ini.
“Apa yang terkandung di dalam perlembagaan merupakan asas kepada pembentukan pentadbiran serta penggubalan undang-undang yang menjadi titik tolak bagi memupuk perpaduan di Malaysia,” katanya.
Comments