SEGAMAT – Seramai 90 bakal mahasiswa di Parlimen Sekijang yang layak melanjutkan pengajian ke universiti awam menerima Wang Pendahuluan Pembiayaan (WPP) daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Ayub Rahmat berkata, beliau menyifatkan bakal mahasiswa yang menerima WPP ini sebagai bertuah kerana dapat meringankan beban perbelanjaan keluarga terutamanya yang berpendapatan rendah.
“Kali ini , seramai 90 bakal mahasiswa dari Parlimen Sekijang telah menerima WPP sebanyak RM1,500 setiap seorang yang melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM135,000.
“Pelajar yang menerima WPP ini diharap dapat berjimat cermat dan berbelanja untuk tujuan yang sepatutnya kerana ia sebahagian daripada pembiayaan pendidikan yang akan diluluskan kelak,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan WPP Parlimen Sekijang yang disempurnakan bersama Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap di Hotel Villa, di sini, baru-baru ini.
Menurutnya, bagi meneruskan pembiayaan yang efisien kepada pelajar, para peminjam PTPTN perlu membayar balik pinjaman supaya wujud kesinambungan pembiayaan PTPTN untuk generasi akan datamg.
“Setiap tahun PTPTN perlu menyediakan dana sebanyak RM5 bilion untuk tujuan pinjaman pendidikan dan pada tahun lalu juga, kira-kira RM2.5 juta pinjaman telah diluluskan dengan komitmen keseluruhan berjumlah RM56.4 bilion.
“Bagaimanapun, saya yakin PTPTN telah melakukan pelbagai usaha supaya pembayaran balik dibuat memandangkan jumlah peminjam yang belum menjelaskan pinjaman terlalu besar termasuk kakitangan awam,” katanya.
Pada masa sama, Ayub meminta PTPTN supaya membuka semula operasinya di daerah Segamat kerana terdapat permintaan tinggi daripada penduduk setempat selepas menutup cawangannya di Pasaraya Kip Mart dua tahun lalu.
Katanya, berurusan di pejabat pos atau bank untuk melakukan urusan pembyaran pinjaman akan memberi masalah kepada pelanggan kerana terpaksa beratur panjang serta dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM2 setiap kali berurusan.
“Saya berharap pengurusan tertinggi PTPTN dapat mengambil kira keperluan penduduk di sini dan saya percaya sejak ada cawangan PTPTN di sini, segala urusan seperti pembayaran dan segala masalah berkaitan PTPTN dapat dilakukan dengan lebih mudah,” katanya.
Comments