SEGAMAT – Pertemuan semula lebih 300 waris Datuk Abdullah Mahat yang pada mulanya bertujuan untuk menjalankan aktiviti gotong royong bagi membersihkan kawasan rumah peninggalannya di Buloh Kasap, di sini, telah mencetuskan idea untuk menubuhkan koperasi.
Seorang waris, Raini Jaafar, 60, berkata, generasi Datuk Abdulah Mahat yang merupakan bekas Penghulu Buloh Kasap dalam tahun 40-an kini telah memasuki generasi keenam dengan jumlah waris melebih 500 orang.
“Dengan jumlah waris yang ramai ketika ini, idea menubuhkan koperasi dilihat sebagai sesuatu yang positif dan mampu menjana ekonomi waris selain sebagai landasan untuk mengukuhkan hubungan dalam kalangan mereka.
“Sekurang-kurangnya melalui koperasi yang diwujudkan serta dana yang dikumpul membolehkan kami merangka pelbagai aktiviti berbentuk kebajikan bagi kebaikan semua waris,” katanya.
Sementara itu, Azman Rashdi, 57, salah seorang cucu kepada Datuk Abdulah Mahat berkata, program yang diadakan itu merupakan kesempatan terbaik untuk semua waris bertemu dan mengenali antara satu sama lain.

Katanya sebagai generasi ketiga, dia mengakui ini merupakan kali pertama dia berpeluang bertemu dan mengenali saudara daripada generasi terbawah yang belum pernah dikenalinya sebelum ini.
Bagi kakaknya, Najmi Rashdi, 64, pertemuan kali ini begitu istimewa buat dirinya dan mengimbau kembali kenangan semasa zaman kanak-kanak di rumah bekas peninggalan datuknya yang sudah lama tidak dikunjunginya itu.
“Pertemuan ini juga memberi peluang kepada saya untuk menceritakan segala pengalaman serta suasana persekitaran rumah yang saya sifatkan begitu banyak sejarah dalam keluarga kami kepada generasi baharu.
“Semoga melalui pertemuan ini, lebih banyak aktiviti membaik pulih rumah pusaka peninggalan datuk saya ini dapat dilaksanakan pada masa akan datang kerana reka bentuk rumah ini penuh dengan nilai tradisi Melayu,” katanya.
Sementara itu, Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, Datuk Abdullah Mahat merupakan penghulu pertama di negeri ini yang memperolehi gelaran Dato’ daripada Almarhum Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Abu Bakar.
Menurutnya, semasa pentadbiran Dato’ Abdullah Mahat, beliau menjalinkan hubungan baik dengan istana Johor dan hubungan baik tersebut berkekalan semasa anaknya, Ahmad Abdullah menjadi penghulu.
“Terlalu banyak jasa yang ditinggalkan oleh Dato’ Abdullah Mahat di Buloh Kasap dan saya meminta supaya warisnya berusaha untuk memulihara semula rumah peninggalan beliau yang kini semakin usang,” katanya.
Comments