SEGAMAT – Nasib seorang warga emas yang tinggal seorang diri di sebuah rumah di Kampung Sepinang, di sini, mendapat perhatian Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Segamat, baru-baru ini.
Isa Md Diah, 74, berkata, dia yang tinggal seorang diri di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu juga tidak mempunyai sumber pendapatan dan hanya mengharapkan ihsan penduduk kampung dan jiran terdekat.
“Pak cik terkejut apabila ramai orang yang datang ke rumah untuk membantu membersihkan kawasan rumah pak cik dan terharu kerana jarang ada orang yang mahu datang ke rumah pak cik.
“Pak cik selesa duduk seorang diri di rumah ini dan hanya makan serta minum apa yang ada dan pernah mengikat perut kerana tidak ada wang untuk membeli makanan dan tidak mahu menyusahkan sesiapa,” katanya.
Menurutnya, dia juga disahkan oleh doktor menghadapi penyakit mental akibat tekanan perasaan selepas bercerai dengan isterinya pada tahun 1970-an dan turut mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan tersebut.
Katanya, dia kini hanya bergantung kepada bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarkat (JKM) dan mengakui anak lelakinya juga sering datang menjenguknya apabila mempunyai kelapangan.
“Pak cik memang asal daripada kampung ini dan pak cik pernah menjadi ketua kumpulan kompang kampung ini pada tahun 1966 dan sebab itu pak cik tidak mahu berpindah keluar daripada kampung ini.
“Memang kawasan rumah pak cik ini agak semak kerana sudah tidak ada kudrat untuk membersihkan rumah dan keadaan di dalam rumah pak cik juga begitu dan mungkin tidak selesa untuk orang lain,” katanya.
Menurutnya, dia juga terharu dan berterima kasih dengan kunjungan dan gotong royong yang dilakukan oleh Norshida dan APM Segamat dan mengakui kunjungan tersebut menceriakan dan membantu meringankan bebannya.
Sementara itu, Norshida berkata, pihaknya sentiasa peka dengan keperluan warga emas tersebut memandangkan dia tinggal seorang diri dan tidak mampu menguruskan kehidupan seharian.
“Selain membersihkan persekitaran rumah warga pak cik Isa, kami turut mengemas di dalam rumahnya yang bersepah bertujuan untuk memberi keselesaan dan menjaga kesihatan warga emas ini.
“Pihak APM Segamat juga turut membantu memotong rambut dan memandikan pak cik Isa kerana keadaannya sebelum ini tidak terurus dan kita juga turut memberikan pakaian baharu dan bantuan makanan,” katanya.
Menurutnya, selepas ini pihaknya juga akan melakukan lawatan berkala di rumah warga emas tersebut dan berharap kerja-kerja sukarela ini mampu memberikan keselesaan kepadanya.
Comments