LABIS – Seorang warga emas di Kampung Paya Merah Lama, di sini, tidak pernah merungut dan menjadikan faktor umurnya sebagai penghalang untuk menjaga isterinya yang sakit seorang diri.
Hasan Mohamed Sah, 80, berkata, isterinya, Tijah Salam, 76, tidak mampu untuk melakukan sebarang kerja rumah selepas kedua-dua matanya mengalami masalah penglihatan sejak beberapa tahun lalu.
“Selepas isteri sakit, pak cik yang terpaksa mengambil alih tugasnya menguruskan rumah termasuk memasak, dan pada awalnya memang kekok tetapi pak cik terpaksa membiasakan diri kerana kami tinggal berdua sahaja.
“Walaupun isteri boleh berjalan, pak cik hanya benarkan dia (isteri) berjalan di dalam rumah sahaja dan setakat ini dia masih mampu pergi ke bilik air seorang diri tetapi kena berhati-hati,” katanya.
Menurutnya, dia yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) yang dibina pada tahun 2009 juga tidak mempunyai pendapatan tetap dan terpaksa bergantung kepada bantuan bulanan sebanyak RM150 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Pak cik ada lima anak, tetapi tiga sudah meninggal dan anak yang tinggal sekarang semua duduk jauh daripada kami dan pak cik sendiri tidak mahu susahkan mereka selagi pak cik masih mempunyai kudrat.
“Setakat ini pak cik terpaksa meminta bantuan jiran atau kawan-kawan sekiranya hendak pergi membeli barang atau keluar ke pekan dan pak cik akan tetap menjaga isteri sampai akhir hayat pak cik,” katanya.
Sementara itu, Shamsul Anuar berkata, BiKUM akan memberi bantuan bulanan sebanyak RM200 selama setahun kepada pasangan warga emas tersebut selepas terkesan dengan kegigihan yang diceritakan sendiri warga emas berkenaan kepada dirinya.
Menurutnya, selain itu, Biro Kebajikan Umno Labis juga akan memohon kepada JKM untuk menambah bantuan bulanan sebanyak RM300 kepada pasangan warga emas tersebut kerana bantuan yang diterima sekarang tidak mencukupi.
“Saya juga telah meminta bantuan perubatan BiKUM supaya memeriksa kesihatan warga emas ini dan apa yang lebih mengharukan, pasangan ini telah mendoakan kami dan menyedekahkan surah al-Fatihah sebelum kami balik,” katanya.
Comments