SEGAMAT 1 Jun – Seorang warga emas yang juga ibu tunggal di Kampung Sedeng di sini, bukan sahaja terpaksa menjaga seorang anak Orang Kurang Upaya (OKU) malah anaknya itu turut mengidap penyakit jantung.
Zaiton Abdul Hamid, 60, berkata, anak lelakinya, Mohd Fairus Suratman, 23, merupakan anak ke-13 daripada 14 beradik itu disahkan meengidap masalah jantung sejak berumur dua tahun sebelum penyakitnya itu menjejaskan perkembangan otaknya.
“Semua injap pada jantung Fairus telah rosak dan dia juga telah beberapa kali menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) untuk memasang injap tiruan serta membaiki saluran jantungnya yang tersumbat.
“Setiap enam bulan sekali saya perlu membawanya menjalani rawatan susulan di IJN kerana dia berada di bawah pemantauan doktor,” katanya ketika menerima kunjungan Ziarah Kasih Sekijang, baru-baru ini.
Menurutnya, setiap kali ke IJN, dia bersama Mohd Fairus dan anak bongsunya, Siti Nuraishah, 18, akan menaiki keretapi dari Segamat ke Kuala Lumpur sebelum dijemput oleh salah seorang anaknya yang menetap di Kuala Lumpur.
Katanya, disebabkan penyakitnya itu juga, Mohd Fairus tidak boleh bercakap secara jelas namun dia berusaha untuk mengajar anaknya berdikari dengan menghantarnya ke kelas pendidikan khas sehingga umur 18 tahun.
Menurutnya, hasil jualannya juga terjejas sepanjang bulan Ramadan ini dan bercadang menjual kuih muih untuk juadah berbuka bagi menambah pendapatannya.
“Saya pun tidak pernah mengharapkan Fairus untuk melakukan sebarang kerja kerana faham tentang keadaan dirinya dan saya juga tidak pernah mengeluh atau menyesal dengan takdir ini.
“Saya hanya menyara hidup dengan menjual sarapan pagi dan kuih muih di hadapan rumah sahaja dan duit tersebut saya gunakan untuk membayar duit sewa rumah dan perbelanjaan anak-anak lain,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap berkata, beliau akan berusaha membantu warga emas tersebut terutamanya dari segi peralatan perniagaan agar pendapatannya bertambah.
Comments