LABIS – Seorang warga emas di Kampung Sawah Baru, di sini, terpaksa memikul tanggungjawab besar apabila menjaga seorang anak, lima cucu dan dua anak saudara arwah menantunya seorang diri.
Rokiah Md Jim, 66, berkata, kehidupan mereka sekeluarga mula terumbang-ambing selepas menantunya Nizar Harun meninggal dunia dua tahun lalu sebelum tanggungjawab itu dipikul oleh anaknya, Zanariah Alwi, 37.
“Kehidupan mak cik bertambah sukar selepas Zanariah pula meninggal dunia pada minggu lalu akibat penyakit barah usus dan sebelum ini mak cik dan mereka yang ada di rumah ini banyak bergantung kepada dia (Zanariah).
“Semasa hayatnya, Zanariah juga tidak bekerja dan dia hanya menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Baitulmal sebanyak RM800 manakala mak cik pula RM450,” katanya kepada pemberita.
Menurutnya, dia yang tinggal di rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) juga terpaksa tinggal berhimpit di rumah tersebut bersama lapan lagi yang lain selain tidak mempunyai pendapatan tetap.

Katanya, kembar Zanariah, Suzana mengalami masalah lembam manakala empat cucu-cucunya pula orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran dan hanya anak kedua Zanariah, Nurul Shakira, 16, sahaja yang normal.
“Ketika ini tidak ada seorang pun di dalam rumah ini yang boleh bekerja mencari rezeki kerana lima daripadanya masih bersekolah dan mak cik buntu memikirkan nasib mereka sekiranya mak cik meninggal dunia.
“Semua urusan seperti menghantar dan menjemput cucu-cucu yang masih bersekolah di kelas pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Pekan Air Panas kira-kira lima kilometer dilakukan oleh Nurul Shakira,” katanya.
Menurutnya, beban sedia ada ditambah dengan tanggungjawab membesarkan dua anak saudara Nizar yang tinggal bersama mereka selepas ibu kanak-kanak tersebut yang tinggal di Johor Bahru tidak mampu menjaga mereka kerana kesempitan hidup.
Katanya, selepas Nizar meninggal dunia, dia juga tidak dapat menghubungi ibu dua kanak-kanak tersebut selain tidak mempunyai pilihan lain selain menjaga mereka dalam keadaan serba kekurangan.
“Mak cik bukan tidak mahu menjaga mereka berdua yang tidak mempunyai pertalian darah dengan mak cik, tapi mereka sepatutnya mendapat peluang untuk membesar dalam keadaan lebih sempurna, bukan dalam keadaan serba kekurangan seperti ini.
“Mak cik harap pihak berkaitan seperti JKM dan Baitulmal dapat melihat sendiri kesusahan kami dan mengkaji semula jumlah bamtuan yang diberikan ketika ini kerana jumlah tersebut memang tidak mencukupi,” katanya.
Sementara itu, Nurul Shakira berkata, dia yang terpaksa berhenti sekolah ketika tingkatan satu terpaksa berulang alik menunggang motosikal menghantar serta menjemput dua adik dan tiga sepupunya ke sekolah.
Menurutnya, walaupun dia sedar terpaksa berhadapan dengan pelbagai risiko seperti kemalangan dan disaman kerana tidak memiliki sebarang lesen, dia tiada pilihan lain kerana arwah bapanya hanya meninggalkan dua motosikal kepada keluarganya.
“Walaupun terpaksa mengikat perut, saya bertekad untuk menjaga ahli keluarga saya dan bercadang mencari kerja sambilan untuk menampung kehidupan kerana saya tidak mahu berpisah dengan adik beradik saya.
“Walaupun sudah biasa dengan kesusahan hidup, saya tidak mahu menjadikan alasan ketiadaan ayah dan ibu serta kesempitan hidup sebagai alasan untuk kami dipisahkan dan berharap ada pihak yang prihatin akan nasib keluarga kami ini,” katanya.
Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga ini boleh menyalurkan secaraa terus ke akaun Maybank milik Rokiah bernombor 101114238072 atau menghubunginya di talian 01135318251.
Comments