LABIS – Apabila bercerita mengenai bidang bina badan dan perniagaan gimnasium, pasti terlintas di dalam fikiran kita bahawa bidang tersebut terlalu sinonim dan dipelopori oleh kaum lelaki.
Tetapi, berbeza pula keadaannya bagi Pengurus Along Gym & Fitness, Zulaiqa Mohd Salleh, 23, yang memecahkan monopoli tersebut dengan memberanikan diri untuk memulakan perniagaan gimnasium sekaligus menjadi wanita tunggal di daerah ini yang mengusahakan perniagaan berkenaan.
Menurut anak kedua dari lima beradik itu, dia telah menceburi bidang perniagaan sejak lima tahun lalu bermula dengan modal permulaan sebanyak RM500 yang dipinjam daripada keluarganya untuk memulakan perniagaan biskut dan kuihnya.
“Titik mula di dalam bidang perniagaan ini bermula selepas saya kecewa kerana tidak dapat melanjutkan pelajaran di salah sebuah kolej swasta di Johor Baharu kerana masalah kesihatan dan kekecewaan tersebut meninggalkan kesan yang mendalam terhadap diri saya.
“Selepas kekecewaan tersebut, saya mula memberanikan diri untuk memulakan perniagaan biskut dan kuih di untuk dihantar ke kantin-kantin sekolah di daerah Segamat,” katanya kepada Komuniti Facebook Segamat.
Menurutnya, ketika itu semua kerja bermula dari proses membuat biskut hingga kepada urusan pemasaran dilakukan sendiri kerana tidak mampu mengupah pekerja sehingga pernah terlintas dalam fikirannya untuk mengundurkan diri.
Katanya, pada peringkat awalnya juga dia tidak mampu untuk menyewa tempat untuk menjalankan operasinya dan menjadikan rumah keluarganya di Perumahan Awam Labis, di sini, sebagai tempat untuk dia beroperasi.
“Selepas beberapa tahun, terlintas difikiran saya untuk mengembangkan perniagaan yang tidak melibatkan proses pembuatan, namun waktu itu perniagaan gimnasium tidak terlintas langsung difikiran saya sehinggalah dicadangkan oleh seorang adik lelaki saya secara berseloroh.
“Pada awalnya, saya tidak mengetahui selok belok tentang perniagaan tersebut dan mengambil masa beberapa bulan mencari maklumat dengan mengunjungi beberapa buah gimnasium yang terdapat di daerah Segamat, Muar dan Batu Pahat,” katanya.
Menurutnya, usaha dia untuk memulakan perniagaan tersebut tidak semudah yang disangka kerana perlu berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk kekurangan modal untuk membeli peralatan yang mencecah ratusan ribu ringgit.
Bagaimanapun, isteri kepada Long Ibrahim Long Man, 24, mendapat bantuan kewangan daripada keluarga mertua dan keluarganya sendiri dan kesemua mereka sepakat mengumpul wang sebanyak RM50,000 bagi membantunya.
“Saya ingin buktikan kepada mereka yang di luar sana bahawa kaum wanita seperti saya juga boleh menceburi bidang ini. Apa yang penting, kita mesti berani dan berfikiran optimis apabila menceburi bidang yang baharu.
“Saya tidak akan meninggalkan perniagaan biskut yang telah saya usahakan walaupun impian saya selama ini telah hampir tercapai,” katanya.
Menurutnya, gimnasium miliknya terletak bersebelahan Bank Rakyat Labis dan dibuka setiap hari bermula jam 8.30 pagi sehingga 11.30 pagi bagi sesi pertama dan 4.30 petang sehingga 11 malam bagi sesi kedua.
Comments