SEGAMAT – Selain penderaan secara fizikal, tidak ramai yang mengetahui bahawa kaum wanita juga sering menjadi mangsa penderaan emosi yang perlu ditangani dengan cara yang betul.
Pengarah Jabaran Pembangunan Wanita (JPW) Negeri Johor, Mohd Ali Taib berkata, bagi mengelakkannya berlaku golongan wanita perlu mengetahui dengan lebih jelas mengenai hak mereka.
“Bagi memastikan wanita mengetahui hak mereka, kami akan terus berusaha melaksanakan pelbagai program dan kempen dari semasa ke semasa untuk memberi penerangan agar mereka lebih peka terhadap hak serta undang-undang yang melindungi mereka.
“Sebagai contoh, kami mempunyai Perkumpulan Wanita (Pewani) selain Majlis Pembangunan Wanita dan Keluarga (MPWK) di setiap kawasan parlimen bagi melaksanakan pelbagai program khusus intuk golongan tersebut,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Penutupan Rasmi Seminar Kesejahteraan Emosi ‘Bridge To A Better Life’ yang dirasmikan oleh Adun Tenang, Mohd Azahar Ibrahim di Dewan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Labis, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pengerusi MPWK Parlimen Labis, Haslinda Salleh dan Mansor Birat.
Menurutnya, seramai 100 peserta yang terdiri daripada suri rumah menyertai program tersebut yang mendedahkan kaedah untuk mengurus stress, marah dan pengendalian emosi dengan cara yang betul.
Sementara itu, Mohd Azahar berkata, kesihatan fizikal dan mental saling berhubung kait dan tidak boleh dipisahkan dan perlu sentiasa berada dalam keadaan positif serta penting untuk menjalani kehidupan yang sihat.
“Sekiranya konflik dan stress yang berterusan tidak ditangani dengan bijak, ianya akan memberi kesan lebih serius seperti gangguan mental dan boleh mengakibatkan kehilangan nyawa.
“Hasil kajian dan morbiditi kebangsaan yang dilakukan pada tahun 2015 oleh Kementerian Kesihatan juga mendapati masalah kesihatan mental dalam kalangan masyarakat berumur 16 tahun ke atas di negara inu adalah 29.2 peratus atau angaran 4 seramai 4.2 juta orang,” katanya.
Comments