SEGAMAT – Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) di daerah ini perlu lebih kreatif dengan mempelbagaikan aktiviti ekonomi bagi membantu meningkatkan pendapatan keluarga pekebun kecil.
Adun Buloh Kasap, Norshida Ibrahim berkata, perkara ini perlu diberi perhatian kerana objektif penubuhan PWPK itu sendiri adalah untuk melahirkan usahawan berjaya terutamanya isteri dan beliawanis pekebun kecil.
“Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) mewujudkan PWPK untuk menyokong agenda negara dalam membangunkan golongan wanita berperanan sebagai pusat atau kumpulan membimbing masyarakat pekebun kecil.
“PWPK sendiri ditubuhkan oleh Risda untuk memajukan institusi pekebun kecil yang rata-ratanya terlibat dengan perniagaan industri kecil dan sederhana (IKS) khususnya di luar bandar,” katanya.
Beliau berkata dalam ucapannya ketika merasmikan Bengkel Pembuatan dan PWPK anjuran Pejabat Risda Daerah Segamat dengan kerjasama Pejabat Pertanian Daerah Segamat di Jalan Kuari, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir ialah Pegawai Risda Daerah Segamat, Nor Afzami Isa dan Pegawai Pertanian Daerah Segamat, Nor Akmal Abdullah.
Menurutnya, beliau berharap agensi-agensi kerajaan lain dapat mengikut jejak langkah Risda dan Pejabat Pertanian dalam memastikan masyarakat luar bandar di daerah Segamat dapat dibantu khususnya masyarakat wanita di kawasan Buloh Kasap.
“Sebagai contoh, Risda ada bantuan Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) iaitu bantuan peralatan perniagaan bernilai maksimum RM20,000 manakala Jabatan Pertanian ada bantuan membina bengkel pembuatan atau pemprosesan makanan.
“Jika ianya dapat berjalan seiring, kita dapat bersama-sama melahirkan usahawan yang berpotensi tinggi dan tidak mustahil sasaran Risda untuk mewujudkan pendapatan keluarga pekebun kecil RM5000 menjelang tahun 2020 akan dapat dicapai,” katanya.
Sementara itu, Nor Afzami berkata, sehingga 31 Januari 2017, keahlian PWPK di daerah Segamat adalah seramai 297 orang daripada 20 buah PWPK dan ini menunjukkan peningkatan ahli sebanyak 139 orang berbanding tahun lepas setakat 31 Januari 2016 iaitu 158 orang ahli.
Menurutnya, pada tahun 2016 sahaja, sebanyak RM25,000 telah disalurkan kepada lima PWPK di Daerah Segamat untuk program Bantuan Baik Pulih Bengkel PWPK dan Pembelian Peralatan PWPK.
Comments